Pengikut Boyzzonne

Monday, August 6, 2012

Anak pemandu lori maut, kereta dinaiki dirempuh dari arah bertentangan

Keadaan kenderaan dinaiki Aiman (kiri) selepas bertembung dengan Proton Iswara.


MARANG - "Aiman sudah tiada".
Demikianlah kata-kata terpacul dari mulut seorang bapa sebaik sahaja melihat tubuh anak lelakinya yang sudah tidak lagi bernyawa di
bilik mayat Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, semalam.
Dek terlalu sedih, Mohd Zulkefli Salleh, 48, yang bekerja sebagai pemandu lori hanya mampu bersandar di kerusi di luar bilik mayat itu sebelum dilihat menghubungi ahli keluarganya bagi memaklumkan mengenai berita kematian anak lelakinya itu.
Anaknya, Mohd Zakuam Noor Iiman, 20, atau mesra dengan panggilan Aiman, meninggal dunia selepas kereta dinaikinya bersama rakannya, dirempuh sebuah kereta di Kilometer 36.5 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Merchang di sini, semalam.
Terbabas selepas mengambil selekoh

DALAM kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, Aiman yang baru beberapa hari bekerja di Kemaman maut di tempat kejadian manakala rakannya yang memandu kereta jenis Ford, Muhammad Razali Adam, 40, terselamat dalam nahas itu. Kedua-dua mereka bekerja sebagai pemandu lori di Kemaman.
Difahamkan kereta yang dipandu Muhammad Razali dalam perjalanan ke Kemaman dipercayai terbabas secara tiba-tiba ke kanan jalan ketika mengambil selekoh sebelum dirempuh Proton Iswara dipandu Siti Nabilah Ismail, 23, yang datang dari arah bertentangan.
Akibat pertembungan itu juga pemandu kereta Proton Iswara, Siti Nabilah, yang dalam perjalanan ke Kuala Terengganu patah kaki kiri manakala penumpang bersamanya yang juga ibunya, Rohani Senik, 53, pula patah tulang bahu.
Kesemua mereka yang terselamat dikejarkan ke HSNZ Kuala Terengganu.
Mangsa tidak tunjuk kelakuan pelik

SEMENTARA itu, ibu mangsa, Marizam Ismail, 40, hanya mengetahui kejadian itu apabila menerima panggilan telefon daripada pihak polis menyatakan anak ketiganya terlibat dalam kemalangan bergegas ke HSNZ bersama suaminya, Mohd Zulkefli.
Ketika menerima panggilan, dia berada di rumah mereka di Tok Jiring, Kuala Terengganu.
“Saya sangat terkejut kerana kami baru sahaja bertemu pagi tadi (semalam) di rumah sebelum arwah keluar bekerja. Dia bekerja sebagai pemandu lori di Kemaman. Sebelum kemalangan, Aiman tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik.
“Namun, hari ini (semalam) dia lewat ke tempat kerja dan bertolak dari rumah sekitar jam 8 pagi berbanding biasa iaitu pada jam 6 pagi walaupun tidur awal dan bangun awal sambil menunggu kedatangan Muhamad Razali di rumah,” katanya.
Apa yang menyedihkan, kata Marizam, dia terlelap di ruang tamu rumah mereka bersama anaknya itu pada malam kelmarin dan ia detik terakhir bersama arwah sebelum anaknya itu meninggalkan mereka buat selama-lamanya semalam.
Mangsa rapat dengan keluarga

MENURUTNYA, Aiman bekerja sebagai pemandu lori kira-kira dua tahun, jarang bekerja di luar daerah dan sehari sebelum kejadian itu dia pulang ke rumah di Tok Jiring dengan menumpang rakan untuk berbuka puasa bersama keluarga.
“Jiwa Aiman terlalu dekat dengan keluarga, dia pasti akan balik ke rumah walaupun bekerja jauh dari rumah tetapi kami tidak menyangka kepulangannya kali ini untuk berbuka bersama merupakan detik terakhir bersama kami sekeluarga,” katanya.

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive