Pengikut Boyzzonne

Wednesday, August 8, 2012

Di sebalik Nuzul Quran & Lailatulqadar

PARA ulama sependapat bahawa peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada 17 Ramadan, malam Jumaat, tahun ke-41 daripada kelahiran Nabi Muhammad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ memberi makna turun atau berpindah dari atas ke bawah iaitu al-Quran itu diturunkan dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah (langit dunia) dengan sekali gus dan bukan
beransur-ansur.

Al-Quran bermakna ‘bacaan’ yang di dalamnya terkandung ayat-ayat (tanda-tanda) yang menjelaskan segala perkara meliputi persoalan tauhid, ibadat, jinayah, muamalat, sains, teknologi, tatanegara dan sebagainya. Ahli tafsir memberi pengertian dengan bacaan itu ialah merenung dan memperhatikan segala penciptaan ALLAH SWT di langit dan di bumi yang meliputi alam semesta ciptaan-Nya.

Al-Quran merupakan mukjizat teragung dan terbesar di sepanjang zaman yang dianugerahkan ALLAH kepada Nabi Muhammad SAW sebagai Nabi akhir zaman. Al-Quran dapat dipegang, dibaca, dilihat oleh semua manusia untuk panduan hidup di dunia dan di akhirat. Dengan membaca isi kandungan al-Quran banyak orang mendapat petunjuk terutama dalam kalangan masyarakat Barat.

Manakala ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW ialah surah al-’Alaq, ayat 1 hingga ayat 5 yang bermaksud : “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari seketul darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang belum diketahuinya.”

Hubungan Nuzul al-Quran dan Lailatulqadar amatlah rapat antara satu sama lain sebagaimana diterangkan dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Firman ALLAH dalam surah al-Qadar (rujuk ayat 1-5).

Dalam hadis, Aisyah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda, bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadan. Para ulama menyatakan malammalam ganjil itu ialah 21, 23, 25, 27 dan 29. Namun malam Lailatul Qadar itu tetap dirahsiakan oleh ALLAH agar setiap umat Islam menghayati 10 malam terakhir bulan Ramadan.

Oleh kerana itu sama-samalah kita menghayati peristiwa Nuzul al-Quran sebagai suatu peristiwa besar dan malam Lailatulqadar yang penuh makna dan hikmah itu. Semestinya kita melihat al- Quran sebagai ‘kitab suci’ dan ummul kitab (ibu segala kitab) di bawah kolong langit ini yang memberi panduan ilmu pengetahuan untuk memajukan dan menyatupadukan ummah manusia seluruhnya.

Memajukan umat Islam daripada perpecahan sesama sendiri, memajukan bidang ekonomi dan pembangunan sejagat, melalui penguasaan ilmu pengetahuan, sains dan teknologi sebagaimana yang diajarkan oleh al-Quran.

Keadaan ini menguatkan lagi bahawa pembacaan dan penulisan menjadi alat dan perkara utama dalam penguasaan ilmu pengetahuan dan pembangunan bangsa dan negara.

Di samping membaca al-Quran sebagai ibadat, boleh ditingkatkan lagi dengan membaca al-Quran kepada menganalisis, mengkaji, menyelidiki dan mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalam al-Quran dan seterusnya menghasilkan penulisan dan kajian yang akhirnya memajukan dunia ini, terutama untuk memajukan umat Islam daripada penindasan dan kekejaman dari semua pihak di peringkat nasional dan antarabangsa.

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive