ALOR GAJAH - Seorang lelaki terpaksa menahan sakit lebih setengah jam apabila kaki kanannya tersepit dalam kenderaan remuk selepas terbabit kemalangan di Lebuh Alor Gajah - Melaka - Jasin (AMJ) Sungai Petai, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira 1.20 pagi itu, mangsa, Chua Yew Yong, 30, memandu kereta jenis Honda dari arah bandar Melaka menuju ke Alor Gajah, sebelum terbabas ke kiri jalan dan merempuh sebatang
tiang elektrik sehingga patah.
Kemalangan itu turut menyebabkan tiang elektrik dirempuh mangsa terseret sejauh kira-kira 25 meter.
Saksi kejadian, Abdul Faiq Abd Rahim, 18, berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke rumah bersama abangnya, Abd Rashdan, 20, dan rakannya, Mohd Asyraf, 21.
"Sebaik melihat kemalangan, kami segera turun dari kereta untuk membantu mangsa yang kelihatan hampir pengsan setelah gagal keluar berikutan kakinya tersepit pada pedal minyak.
“Dalam keadaan mengerang kesakitan, mangsa sempat bertanyakan keadaan keretanya kerana bimbang mungkin akan dimarahi bapanya akibat kemalangan itu," katanya kepada Sinar Harian di tempat kejadian.
Menurutnya, mangsa yang tersepit dalam kereta cuba menghubungi rakannya menerusi telefon bimbit tetapi gagal.
“Orang awam yang berada di situ juga tidak berani menyentuh mangsa kerana takut tersilap memberi bantuan.
“Panik melihat keadaan mangsa yang merintih dan meraung, abang saya segera menghubungi bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah untuk mengeluarkan mangsa," katanya.
Sementara menunggu bantuan kecemasan tiba, katanya, mereka berbual dengan mangsa.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Pegawai Bomba Kanan 2 Chee Hong Chuan berkata, bomba menerima panggilan dari orang awam berhubung kejadian itu pada kira-kira 1.30 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian.
“Sebuah jentera membabitkan enam anggota membantu mengeluarkan mangsa di tempat kejadian.
"Bomba terpaksa memotong beberapa komponen kereta selepas mendapati kaki kanannya patah dan mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa," katanya.
Mangsa yang patah kaki kanan dan luka ringan dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan.
No comments:
Post a Comment