Pengikut Boyzzonne

Monday, October 22, 2012

10,000 penyokong Red Warriors sambut ketibaan Piala Malaysia

Awang Adek (kanan) menyambut ketibaan Piala Malaysia yang dibawa oleh Azman Ibrahim (tengah) di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, hari ini. - Foto Bernama

KOTA BHARU - Kira-kira 10,000 penyokong The Red Warriors membanjiri Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini bagi menyambut ketibaan Piala Malaysia 2012 selepas Kelantan berjaya
merangkul gelaran juara menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 di Stadium Shah Alam, semalam.
Walaupun keadaan cuaca tidak menentu, para penyokong yang berpakaian serba merah, tetap bersemangat menunggu ketibaan pasukan kesayangan mereka walaupun terpaksa berdiri lebih dari tiga jam berikutan penerbangan yang tertunda.
Kira-kira 7.00 petang, kelibat Piala Malaysia yang dijulang Pengurus Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Azman Ibrahim bersama para pemain, nyata menggamatkan lapangan terbang apabila menerima sorakan serta tepukan bergemuruh daripada para penyokong.
Kemenangan Kelantan itu turut diraikan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Husin yang turut meluangkan masa bersama ribuan peminat menunggu ketibaan piala tersebut.
Tepat 7.30 petang, perarakan motosikal berkuasa tinggi dan kereta mengiringi bas yang dinaiki oleh pengurusan KAFA serta para pemain ke Kelantan Trade Centre (KTC) untuk dipamerkan sementara di sana.
Perarakan itu juga turut menyebabkan aliran trafik bergerak perlahan kira-kira 15 kilometer dari lapangan terbang menuju ke pusat bandar.
Sementara itu, Azman berkata pengurusan tertinggi KAFA akan bermesyuarat tidak lama lagi berhubung kontrak yang akan ditandatangani oleh beberapa pemain, dan beliau yakin ramai yang akan kekal bersama Kelantan.
"Apa yang pasti, para pemain diberi cuti selama sebulan selepas mengharungi musim yang agak memenatkan ini," katanya kepada pemberita.
Sementara itu, kapten pasukan Kelantan, Mohd Badri Mohd Radzi berkata kemenangan The Red Warriors itu adalah hadiah terbaik untuk para penyokong yang sentiasa memberi sokongan padu kepada mereka.
"Terima kasih juga buat para pemain yang sentiasa memberi persembahan terbaik sehingga tercipta sejarah baru...Kejayaan treble ini juga hadiah buat para penyokong," katanya.
Kelantan, yang sudah memiliki gelaran juara Liga Super dan Piala FA, melengkapkan kejuaraan treble apabila menjulang Piala Malaysia buat kali kedua selepas 2010 setelah mengetepikan ATM 3-2.
Gol Kelantan dijaringkan oleh Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke 44 dan ke-50, dan Indra Putra Mahyuddin pada minit ke 96.  - Bernama

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive