Pengikut Boyzzonne

Friday, October 26, 2012

Kad Diskaun Siswa 'durian runtuh' ringankan beban pelajar

Pelajar UPNM, Umi Shahirah Abdullah bersama rakannya Dinnesh Nicolas memegang Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) selepas majlis penyerahan kad tersebut di UPNM - Foto Bernama

PELANCARAN Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) merupakan satu bukti keprihatinan dan kesungguhan kerajaan menghargai dan merealisasikan hasrat dan idea golongan siswa yang bermanfaat besar untuk mereka.
Selaras dengan hasrat tersebut pada 2 Julai lalu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melancarkan KADS1M yang merupakan hasil cetusan idea yang dikemukakan oleh para siswa sendiri pada
mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) pada 21 November tahun lalu.
Kerajaan tidak teragak-agak melaksanakan pandangan serta cadangan bernas yang dikemukakan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) demi menjamin kebaikan serta kesejahteraan pelajar baik di IPT awam mahupun swasta.
Untuk itu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mewujudkan KADS1M yang berobjektif membantu hampir 1.5 juta pelajar IPT awam dan swasta di negara ini mengurangkan kos sara hidup dan bebanan sepanjang tempoh pembelajaran mereka.
KADS1M ini menawarkan diskaun antara lima hingga 60 peratus yang diberikan oleh lebih 2,600 kedai milik 264 syarikat yang mengambil bahagian bagi pembelian barangan dan perkhidmatan terpilih dan tertakluk kepada kadar, terma serta syarat yang ditetapkan oleh syarikat masing-masing.
Menyambut baik usaha itu Pengerusi Biro Pengajian Tinggi Kelab Belia Graduan 1Malaysia, Kalam Azad Abu Bakar menyifatkan pemberian kad diskaun itu merupakan
'durian runtuh' kepada seluruh golongan mahasiswa di negara ini.
"Ia merupakan satu usaha yang harus diberi pujian, di atas keprihatinan kerajaan untuk mendengar cadangan dari peringkat mahasiswa, yang sekali gus membuktikan 'suara' golongan ini tidak diketepikan. Siapa kata kerajaan sekarang tidak prihatin?" katanya kepada Bernama ketika dihubungi baru-baru ini.
Antara perkhidmatan dan barangan yang ditawarkan syarikat ialah sektor buku dan alat tulis, pakaian kelengkapan sukan, klinik kesihatan, optometri, penginapan dan pengangkutan, makanan dan minuman, pusat rawatan dan kecantikan, produk teknologi maklumat, automotif dan bengkel, peruncitan dan rekreasi.
Mengulas lanjut beliau berkata, walaupun mahasiswa diberikan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) namun pemberian kad diskaun
itu dapat membantu menjimatkan lagi perbelanjaan pelajar dan keluarga mereka ketika mereka berada di institusi pengajian.
Jelasnya, mahasiswa juga dapat memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap proses pembelajaran mereka tanpa memikirkan kos perbelanjaan dan sara hidup yang semakin meningkat.
"Kalau kita lihat kos hidup terutamanya di kawasan Lembah Klang turut memberi kesan kepada pelajar jadi dengan pemberian kad ini (KADS1M) ia dapat membantu pelajar untuk fokus dalam belajar di samping membolehkan mereka berjimat," katanya.
Pendapat itu turut disokong bekas Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Wan Ahmad Hazman Wan Daud yang berkata, golongan mahasiswa perlu bersyukur atas keprihatinan kerajaan yang sanggup menyediakan kemudahan seperti itu sekaligus meringankan beban belanja yang ditanggung oleh siswa.
"Mahasiswa perlu ingat nikmat ini tidak perlu dibandingkan dengan orang yang mempunyai nikmat yang lebih tinggi. Malah jika dibandingkan diri kita dengan negara yang tidak maju kita jauh lebih bertuah mendapat perhatian besar kerajaan," katanya.
Beliau turut melahirkan rasa sedih dan kecewa dengan tindakan segelintir golongan mahasiswa yang sanggup menggadaikan masa depan demi menyatakan ketidakpuasan mereka dengan bertindak di luar batas kesopanan memburukkan kerajaan yang telah berusaha dengan sehabis baik untuk mereka.
"Sebagai seorang mahasiswa mereka perlu bijak menggunakan laluan yang betul bukan dengan cara berdemonstrasi . Kita harus menjadikan diplomasi atau rundingan sebagai 'platform' terbaik untuk meluahkan pendapat," katanya sambil menambah mahasiswa sebagai kelompok intelektual perlu mencerminkan sifat kepimpinan yang matang dan logik.
Jelas Wan Ahmad, mahasiswa bukan hanya berperanan penting dalam menggalas tanggungjawab sebagai bakal pemimpin negara tetapi perlu diterapkan dengan pemikiran yang rasional untuk menerajui kemajuan negara.
Dalam pada itu Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Saripuddin Kasim berkata, kerajaan sentiasa memberi peluang dan ruang kepada golongan mahasiswa untuk mencerna idea-idea bernas agar cadangan itu dapat diguna pakai.
"Kita memberi respons kepada cadangan pelajar terhadap kes peningkatan sara hidup di kampus dan kerajaan menyahut seruan mereka, malah kita juga turut menggalakkan penglibatan swasta yang memberikan faedah kepada pelajar," katanya.
Beliau berkata, kerajaan tidak menanggung sebarang kos dalam mewujudkan program kad tersebut sebaliknya inisiatif itu direalisasikan dengan usahasama antara sektor kerajaan dan swasta melalui Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
Beliau berkata, tujuan KADS1M ini diwujudkan untuk mengurangkan kos sara hidup terhadap keperluan para pelajar tanpa mengira IPT di kawasan luar bandar atau bandar.
Bagi seorang pelajar kolej swasta di ibu negara Ng Zhun Ye, usaha kerajaan menyediakan KADS1M turut membuktikan golongan mahasiswa IPTS tidak terkecuali daripada menerima pelbagai bantuan yang diberikan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya, setakat ini mahasiswa terpaksa membelanjakan lebih RM500 sebulan untuk menampung pembelanjaan harian termasuk membeli buku dan alat tulis atau
peralatan teknologi internet, yang tentunya dapat dikurangkan dengan penggunaan KADS1M.
Sementara itu, bagi pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Azeqa Ahmad, pertama kali menerima KADS1M dia berasa sangat teruja kerana berpeluang untuk mendapat potongan harga yang menarik, malah di luar jangkaan.
"Kad ini banyak membantu pelajar untuk belajar berjimat-cermat dalam berbelanja. Contohnya kalau menggunakan kad ini membeli alat tulis saya dapat jimat RM5 yang selalunya melibatkan kos RM20 hingga RM15," katanya yang merupakan pelajar tahun ketiga jurusan sains kemanusiaan di universiti itu.
Namun Azeqa berkata syarikat atau kedai yang menyertai KADS1M ini perlu melekatkan logo KADS1M untuk memaklumkan kepada para pelajar kerana ada segelintir syarikat yang tidak berbuat demikian.
Pelajar Kaunseling Universiti Malaysia Terengganu, Muhammad Syahril Ahmad Halim, pula berpendapat promosi KADS1M kawasan pantai timur seperti Terengganu dan Kelantan masih berada pada tahap yang tidak memberangsangkan.
"Saya rasa masih kurang promosi mengenai KADS1M malah ada sesetengah syarikat atau kedai yang tidak menawarkan faedah kad ini. Saya harap pihak syarikat dapat menyambut inisiatif baik kerajaan," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive