Pengikut Boyzzonne

Saturday, October 20, 2012

Arowana emas Malaysia ada standard ISO Sirim.


BUKAN omong kosong apabila spesies ikan arowana emas Malaysia atau ikan naga (dragon bonytongues), Malayan bonytongue atau kelisa bakal diberikan standard ISO Sirim.
Ini suatu kejayaan membanggakan kerana 30 tahun lalu spesies ikan itu tidak dipedulikan, jika ditangkap pun sekadar untuk dijadikan pekasam oleh penduduk di utara Perak.

Bunyinya mungkin janggal tetapi standard ISO ini giat direncanakan Jabatan Perikanan dan Sirim Berhad bagi
memastikan ikan unik kelahiran Malaysia ini mempunyai penjenamaan paten dan hak ciptanya sendiri.
Jelas ramai yang tidak sedar ikan arowana emas Malaysia menyumbang RM151 juta kepada nilai eksport ikan hiasan tempatan tahun lalu dan nilai ini dijangka terus meningkat.

Malah, Jabatan Perikanan yakin industri ternakan ikan arowana yang berkembang aktif di seluruh negara mampu menyumbang lebih RM600 juta kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) menjelang tahun 2020.

Prospek keuntungan daripada ikan arowana emas ini perlu disokong melalui pemberian standard ISO sekali gus melahirkan keyakinan kepada negara pengimport terhadap kualiti dan ‘jenama’ ikan kelahiran bumi Malaysia ini.

Sehingga kini, ikan arowana emas dikenal pasti tidak wujud di mana-mana lokasi lain di dunia selain hidup liar di Tasik Bukit Merah, Taiping dan Sungai Kerian, Perak.

Ini menjadikan ikan arowana emas Malaysia atau nama saintifiknya Scleropages Formosus amat unik dan boleh diangkat haiwan warisan yang perlu dipelihara.

Jabatan Perikanan dengan bantuan Sirim Berhad baru-baru ini berusaha memberi dimensi baru terhadap industri ternakan dan eksport ikan arowana emas Malaysia dengan mewujudkan standard khas yang boleh diguna pakai semua penggiat industri ikan hiasan.

Ini selaras dengan pengiktirafan Malaysia sebagai negara pengeluar ikan hiasan terbesar di dunia.

Standard ISO yang dikenali sebagai Department Of Fisheries Standard (DOF STAN 1:2012) itu adalah langkah awal Jabatan Perikanan dan Sirim memastikan DNA unik ikan arowana emas Malaysia ini dilindungi dan tidak diciplak oleh mana-mana negara luar.

Ketua Eksekutif Sirim Berhad, Dr Zainal Abidin Mohd Yusof berkata, standard yang bakal diperkenalkan selewat-lewatnya awal tahun hadapan bertujuan memastikan produk Malaysia ini terus unggul dan memberi keuntungan besar kepada ekonomi negara.

Jelasnya, produk Malaysia ini mendapat persaingan dari negara pengeluar ikan hiasan lain termasuk Indonesia. Namun, ramai tidak sedar bahawa hanya negara Malaysia memiliki spesies ikan arowana bersisik berwarna emas tulen.

“Ikan arowana emas Malaysia lebih cantik berikutan sisiknya akan bertukar menjadi kemilau emas apabila matang berbanding warna merah yang dihasilkan ikan arowana Indonesia.

“Inilah menjadikan ikan arowana Malaysia ibarat ‘raja’ segala spesies ikan hiasan air tawar,” katanya.

Faktor ini menjadikan DOF STAN 1:2012 begitu penting dalam menggaris keperluan sejajar dengan standard dan kualiti ikan arowana emas Malaysia yang sudah dikenal pasti fizikalnya sebelum ini.

Standard yang sedang giat diperkenalkan ini akan menitik beratkan aspek penggredan, pengesanan, pembungkusan dan pelabelan, keperluan perundangan serta pematuhan piawaian bagi ikan arowana emas Malaysia.

Selain itu, Sirim Berhad kini sedang giat membangunkan alat khas Biosensor Pengenalan arowana emas Malaysia yang dijangka dapat disiapkan tahun depan.

“Alat unik ini ibarat ‘kemudahan forensik’ yang membolehkan DNA dan ciri unik arowana emas Malaysia dikenal pasti sekali gus membantu usaha penjenamaan ikan bernilai tinggi itu,” katanya.

Zainal yang ditemu bual di bengkel kualiti ikan arowana emas Malaysia di Bukit Merah Laketown Resort, Taiping mengakui kewujudan alat pengesan Biosensor itu memudahkan penternak ikan hiasan dan pengeksport mengenal pasti spesifikasi fizikal khusus anak ikan arowana emas Malaysia serta warna yang dihasilkan apabila dewasa.

Katanya, banyak aduan diterima berhubung kes penipuan apabila anak ikan arowana emas yang kononnya berasal dari Malaysia dan dijual pada harga mahal sebaliknya bertukar kepada warna lain ketika dewasa.

“Alat pengesan biosensor yang dicipta itu dapat mengatasi penipuan ini selain memberi sandaran kukuh kepada DOF STAN 1:2012,” katanya.

Tugas menghasilkan alat unik ini bukanlah mustahil bagi Sirim Berhad yang tersohor sebagai organisasi peneraju Penyelidikan dan Teknologi diiktiraf di peringkat global sama ada dari segi standard atau penilaian pematuhan. Langkah proaktif memajukan sektor akuakultur ini disokong sepenuhnya Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood yang yakin industri penternakan ikan arowana emas Malaysia akan melangkah dimensi baru selain mendominasikan sektor pengeluar ikan hiasan dunia.

Statistik menunjukkan nilai ekport ikan hiasan dari Malaysia termasuk arowana emas ke seluruh dunia mencecah nilai RM444 juta tahun lalu.

Ini cukup membuktikan kemampuan Malaysia bergelar ‘jaguh’ penghasilan baka ikan hiasan menandingi negara lain. Selain ikan arowana emas, Malaysia turut diiktiraf dunia sebagai pengeluar utama ikan hiasan lain termasuk ikan dalam kumpulan Cichlid (ikan Discus dan Angle Fish), Poecilids (ikan Guppy, Swordtail dan Molly), Cyprinid (ikan emas, koi dan tiger barb) dan Characins (ikan Tetra).

Katanya, harapan tinggi melihat Malaysia kekal meneraju sektor ini disandarkan kepada 130 penternak ikan arowana membabitkan kawasan kira-kira 800 hektar di seluruh Malaysia.

Sayangnya keuntungan diraih ini pastinya boleh dilipat gandakan jika ikan arowana emas Malaysia termasuk ikan Emas dan ikan Koi ‘buatan tempatan’ ini tidak dilarang masuk ke Negara Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat.

Sekatan ini ada kaitan dengan tuduhan tindakan Malaysia merosakkan populasi ikan arowana emas di habitat semula jadi hingga mengakibatkan kepupusan spesies itu.

Isu ini ada kaitan dengan tomahan sektor akuakultur Malaysia mengabaikan isu kebajikan haiwan dan tidak ‘penyayang’ dalam urusan ternakan, pengendalian dan pemeliharaan haiwan ternakan menyebabkan ikan hiasan negara ini disekat daripada memasuki pasaran antarabangsa.

Malah, Jabatan Perikanan turut berhadapan tanggungjawab untuk mematuhi Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Flora dan Fauna Terancam (CITIES) yang ditandatangani sejak 1978.

Mengikut syarat ketat, setiap ladang ternakan ikan arowana perlu berdaftar di bawah Konvensyen CITIES ini dan Jabatan Perikanan wajib memastikan urus niaga ikan arowana emas Malaysia memenuhi syarat dan permit CITES berhubung isu penangkapan, pemilikan, pemasaran, pembiakan, penyeludupan, pengimportan dan pengeksportan secara haram di negara yang diharamkan perdagangannya. Namun, daripada 130 penternak arowana emas Malaysia, hanya 33 pengusaha saja dikenal pasti mendaftar ladang ternakan secara kurungan dengan sekretariat CITES di Geneva, Switzerland manakala bakinya masih mengambil sikap berdiam diri.

Pelbagai cabaran dihadapi ini sedikitpun tidak melunturkan matlamat dan hala tuju Jabatan Perikanan yang meletakkan keyakinan kepada sektor swasta sebagai peneraju industri ikan hiasan utama dunia.

Pada masa sama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan terus mewujudkan persekitaran mesra perniagaan melalui dasar, program dan sokongan insentif bagi mengekalkan Malaysia sebagai pengeluar nombor satu ikan hiasan dunia.

Malah, kerajaan meletakkan harapan tinggi kepada potensi perniagaan ikan hiasan di bawah Bidang Ekonomi Negara apabila bidang ini disenaraikan sebagai peluang perniagaan yang mampu menyumbang kira-kira RM600 juta kepada Pendapatan Kasar Negara selain mewujudkan lebih 100,000 peluang pekerjaan di akhir tahun 2020.

Sebagai rakyat Malaysia, tidak salah kita berbangga dengan pencapaian luar biasa ikan arowana emas Malaysia ini yang berjaya melonjakkan nama negara ke persada dunia tanpa kita menyedarinya.

Penulis Ketua Biro Harian Metro Ipoh

sumber metro online

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive