ANGGOTA bomba dan beberapa penduduk kampung bertungkus-lumus memadamkan kebakaran yang memusnahkan 81 buah rumah di Kampung Selamat, Simunul, Semporna, Sabah |
SEMPORNA - Lebih 600 penghuni perkampungan air di sini, tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka yang terletak di Kampung Selamat, Simunul hangus dijilat api dalam satu kejadian kebakaran semalam.
Kejadian yang berlaku pada pukul 11.30 pagi itu mengakibatkan
81 buah rumah papan yang diduduki lebih 600 penghuni sejak lebih 20 tahun lalu itu musnah dijilat api.
Akibat kejadian itu, lima orang penduduk cedera kerana melecur dan mereka menerima rawatan lanjut di Hospital Semporna, Sabah.
Kampung Selamat merupakan sebuah perkampungan padat dengan jumlah penghuni sekitar 3,000 orang yang difahamkan kebanyakannya terdiri daripada pelarian Filipina semasa krisis peperangan di negara terbabit pada tahun 70-an.
Pegawai Bomba dan Penyelamat Semporna, Mohd. Razali Ag. Ahmad berkata, sebuah jentera dengan kekuatan 11 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 11.41 pagi.
Katanya, operasi memadamkan api turut dibantu sebuah jentera dan 12 anggota dari Balai Bomba Tawau selain dua jentera utiliti bersama tujuh anggota dari Kunak.
"Operasi memadamkan kebakaran mengambil masa hampir dua jam berikutan kedudukan rumah terbabit yang begitu rapat antara satu sama lain.
"Api berjaya dikawal sepenuhnya sekitar pukul 3.53 petang," katanya di sini semalam.
Tambahnya, siasatan awal mendapati, jumlah kerugian mencecah kira-kira RM938,000 dan punca kejadian masih disiasat.
Semua mangsa kebakaran terbabit akan ditempatkan sementara di Dewan Masyarakat Semporna.
No comments:
Post a Comment