Pengikut Boyzzonne

Sunday, August 5, 2012

Hidup di celah rumah ibu, kakak

Pondok terletak antara rumah emak dan kakak Nadamurni.


RANTAU PANJANG - Ketika ramai tinggal dalam rumah bersaiz besar dengan pelbagai kelengkapan mewah, tiga beranak dari Kampung Kubang Puyoh pula hanya mampu berlindung daripada panas dan hujan di pondok kecil daif.

Hanya bersaiz 3 x 4 meter, ia terlalu sempit untuk didiami tiga individu, tetapi hanya itu yang
termampu disediakan keluarga ini.

Bukan itu sahaja, bumbungnya hanya beberapa jengkal di atas kepala ketua isi rumahnya, Mahadi Yusuf, 42.

Rumah ini pula dibina antara dinding rumah ibu dan kakaknya bagi membolehkan tiga beranak ini berlindung sejak 14 tahun lalu.

Jika dilihat dari luar, mungkin ramai tidak menyangka ruang sempit dan agak tersorok itu berpenghuni.

Tanpa ruang dapur dan bilik tidur, segala aktiviti dilakukan di sudut sama.

Bergantung duit bantuan

Dia yang dilahirkan bisu pasrah dengan ketentuan Ilahi dan hanya bekerja kampung bagi menyara isteri, Nadamurni Abdullah, 37, yang juga bisu serta anak tunggal, Nor Alia Farhana, 14, yang kini belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Gual Periok.
Selain itu, Mahadi turut menerima bantuan orang kurang upaya (OKU) RM120 sebulan.

Duit itulah digunakan Mahadi untuk menyara keluarga mereka sekiranya tidak mempunyai sebarang kerja untuk dilakukan.

Tiada bantuan lain

Duit itu jugalah digunakan untuk kos pengangkutan isterinya ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) bagi mendapatkan rawatan susulan setelah menjalani pembedahan jantung kira-kira 10 tahun lalu.

Setiap kali ke HUSM mereka perlu mengeluarkan belanja sekitar RM90 untuk pengangkutan pergi dan balik.

Anaknya yang dilahirkan normal, tidak mendapat sebarang bantuan dan hanya menerima duit Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) ketika di sekolah rendah.

Tolong setakat termampu

Abang Nadamurni, Aziz, 45, berkata, mereka adik-beradik turut membantu mereka setakat yang termampu. Menurutnya, mereka juga kurang berkemampuan.
“Saya berharap mereka dipertimbangkan untuk mendapatkan rumah. “Pendapatan diperoleh setakat ini hanya cukup untuk perbelanjaan harian sahaja,” katanya.

Tidak tahu masalah Mahadi

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Rantau Panjang, Datuk Abdullah Mat Yasim ketika dihubungi berkata, tidak mengetahui tentang masalah dihadapi keluarga ini.

Beliau berjanji akan turun melihat permasalahan tersebut.

“Saya akan melihat kehidupan mereka dan menghulur wang zakat dalam masa terdekat,” katanya.

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive