IPOH - Seorang penanam sayur patah pergelangan tangan kiri selepas diserang sekumpulan lima lelaki dipercayai ah long dalam satu kejadian di hadapan rumahnya di Taman Pasir Putih, malam kelmarin.
Mangsa yang dikenali sebagai Cheng, 48, berkata, dalam kejadian jam 9.45 malam itu, dia berada di luar rumah kerana menyelesaikan urusan bersama rakan, sebelum dihubungi anak saudaranya.
Menurutnya, dalam nada cemas, anak saudaranya itu menyuruh dia segera pulang kerana terdapat
sekumpulan lelaki berada di hadapan rumah.
"Anak saudara saya turut memaklumkan kumpulan lelaki itu tidak teragak-agak untuk mencederakan anak saudara lelaki saya dan seorang remaja perempuan, jika saya tidak pulang dengan segera.
"Setiba di rumah, baru saya sedari mereka merupakan ah long yang meminta saya melunaskan hutang yang dipinjam kira-kira dua tahun lalu dan mereka terus menangkap serta membelasah saya tanpa sebarang amaran," katanya ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), semalam.
Menurut Cheng, dia diheret masuk ke dalam rumah sebelum dipukul lagi sehingga lebih 10 minit menggunakan rotan dan besi pengunci kereta sungguhpun telah merayu belas kasihan.
"Saya meraung kesakitan apabila besi pengunci kereta itu dipukul sekuat hati oleh seorang daripada kumpulan lelaki terbabit ke tangan kiri saya. Saya dipukul bertalu-talu hingga pengsan dan ahli keluarga serta jiran berhampiran hanya mampu melihat.
"Mereka tidak dapat membantu kerana takut turut dicederakan. Saya bangun pagi ini dengan menyedari saya telah berada di atas katil hospital dan diberitahu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Pasir Puteh," katanya.
Cheng memaklumkan, dia ada meminjam wang daripada ah long sebanyak RM10,000 untuk membesarkan perniagaan memborong pelbagai jenis sayuran dan hasil perniagaan digunakan untuk membayar hutan dengan kadar RM2,500 seminggu.
Katanya, dia berjaya menyelesaikan hutang berkenaan dalam tempoh empat minggu, namun memberanikan diri untuk meminjam kali kedua dari kumpulan sama sebanyak RM5,000.
"Malangnya, saya mula berdepan dengan masalah perniagaan sejak awal tahun ini dan gagal menjelaskan hutang berkenaan yang naik mendadak apabila ditambah kadar bunga," katanya.
Beikutan pengalaman ini, Cheng menasihatkan orang ramai agar jangan meminjam dengan ah long kerana mereka akan bertindak di luar kawal jika gagal membayar hutang.
No comments:
Post a Comment