Pengikut Boyzzonne

Tuesday, October 16, 2012

Gempar lima ‘bom’ di Wisma Kumpulan Wang Simpanan Guru-Guru (KWSG)

GEMPAR...kakitangan Wisma KWSG keluar dari bangunan sementara pemeriksaan dilakukan, semalam.

KUALA LUMPUR: Seorang telefonis Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Kuala Lumpur Bandar di Wisma Kumpulan Wang Simpanan Guru-Guru (KWSG), Kampung Attap, di sini, menggigil sebaik menerima panggilan menyatakan ada bom untuk meletupkan bangunan itu jam 10.30 pagi, semalam.
Panggilan bom palsu yang dibuat seorang lelaki jam 9 pagi itu menyebabkan lebih 300 kakitangan di bangunan 21
tingkat terbabit diarah keluar.

Kakitangan KWSG, Aishah Salim, 40, berkata, beliau mengetahui mengenai panggilan itu sebaik pengawal keselamatan mengarahkan semua kakitangan mengosongkan bangunan dan berkumpul di depan bangunan.
“Saya diberitahu pemanggil terbabit memberitahu dia benci LHDN dan sudah meletakkan lima bom dalam bangunan yang akan meletup tepat jam 10.30 pagi.

“Kami semua meninggalkan bangunan dan membawa barang berharga sementara menunggu polis menjalankan pemeriksaan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Pengarah LHDN Cawangan Kuala Lumpur Bandar, Zulkifli Mohd Tahir berkata, seorang telefonisnya menerima panggilan daripada seorang lelaki memberitahu dia meletakkan lima bom dalam bangunan.

“Telefonis itu memaklumkan kepada pegawai keselamatan lalu menghubungi saya yang ketika itu sedang bermesyuarat di Wangsa Maju. Saya arahkan beliau menghubungi polis dan minta kakitangan kosongkan bangunan,” katanya.

Menurutnya, selain LHDN, bangunan berkenaan turut menempatkan kakitangan jabatan kerajaan lain dan swasta.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.11 pagi dan sepasukan polis dikejarkan ke tempat kejadian.

“Unit Pengesan Bom dipanggil untuk menjalankan pemeriksaan dalam bangunan, namun selepas sejam, pemeriksaan tidak menemui bahan letupan dan bangunan terbabit disahkan selamat sebelum semua pekerja dibenarkan masuk,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive