Pengikut Boyzzonne

Friday, October 12, 2012

Ikan Terdampar di pantai Pengerang

KOTA TINGGI – Penduduk di sekitar Pengerang dekat sini gempar apabila menemui banyak bangkai ikan terdampar di sepanjang perairan Pantai Pengerang sejak beberapa hari lalu.

Menurut penduduk, Wahab Ibrahim, 52, kejadian yang berlaku kira-kira lima hari lalu itu sememangnya menggemparkan penduduk.


Menurutnya, penduduk juga telah membuat aduan kepada pihak berkenaan dan juga wakil rakyat tentang kejadian tersebut.

“Sememangnya kami amat terkejut dengan kejadian yang berlaku,” katanya yang tinggal di Kampung Teluk Empang.  

Bagi nelayan, Hussain Abdul Latif, 49, kejadian tersebut adalah kejadian pertama yang dilihatnya sepanjang 35 tahun menjadi nelayan.

Katanya, dia turut menyifatkan kejadian tersebut adalah paling buruk dalam sejarah kerana menyebabkan ikan mati dalam jumlah begitu banyak.

“Malah pada hari pertama kejadian, ada yang beranggapan ikan tersebut timbul kerana buangan pihak tertentu.

“Namun, dari hari ke hari, semakin banyak ikan yang mati dan yang paling membuatkan kami takut ialah ikan jenis gelama, langka, bawal dan kurau yang kami tangkap beberapa hari lalu,” katanya.

Penduduk juga berharap agar punca kejadian itu dapat disiasat segera agar tidak berlanjutan.

Sementara itu, Pengurus Besar Persatuan Nelayan Pengerang, Abdul Fatal Mustafa berkata, pihaknya belum lagi mengetahui punca sebenar kejadian itu, namun sudah memaklumkan masalah tersebut kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut.

Difahamkan kedua-dua jabatan sudah mengambil sampel air laut dan akan dihantar kepada Jabatan Kimia untuk dianalisis selain akan membuat kerja-kerja pembersihan.

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive