KUALA LUMPUR – Beberapa kawasan tumpuan umum di Johor dan Pulau Pinang diwartakan sebagai Zon Larangan Merokok berkuatkuasa bulan ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kawasan terbabit adalah
Hutan Bandar Mutiara Rini di Johor Bahru dan enam lagi kawasan awam di Pulau Pinang.
“Enam kawasan di Pulau Pinang adalah Taman Perbandaran, Taman Botani, Empangan Air Itam, Empangan Mengkuang, Taman Bandar Ampang Jajar dan Empangan Telok Bahang,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Tiong Lai berkata, tindakan itu bertujuan melindungi orang awam khasnya golongan kanak-kanak, remaja dan wanita serta orang tidak merokok daripada bahaya asap rokok basi.
Jelas beliau, Kementerian Kesihatan sebelum ini telah mewartakan 21 kategori tempat yang dilarang merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.
Katanya, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama kerajaan negeri bertekad untuk mewujudkan lebih banyak Zon Larangan Merokok terutama di kawasan tumpuan awam.
Beliau seterusnya berkata, kajian pada tahun lalu mendapati 70 peratus orang dewasa terdedah kepada asap rokok basi di tempat awam.
Sehubungan itu, katanya, Kementerian Kesihatan menggalakkan kerajaan-kerajaan negeri mewujudkan Zon Larangan Merokok untuk melindungi rakyat mereka. – mynewshub.my
No comments:
Post a Comment