Pengikut Boyzzonne

Saturday, August 4, 2012

Misteri Disebalik kematian paus di Kuala Penyu

Seorang penduduk kampung dari daerah ini keluar dari mulut ikan paus seberat lebih 10 tan untuk melihat lebih dekat ketika operasi memindahkannya ke darat.


KOTA KINABALU - Pengarah Institut Penyelidikan Marin Borneo Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Dr Saleem Mustafa percaya ada kemungkinan kejadian paus terdampar di kawasan cetek mempunyai kaitan dengan perubahan iklim.
Sambil menegaskan tentang perlunya data lebih impirikal untuk membuat kesimpulan tentang perkara itu, beliau berkata terdapat juga alasan kukuh bahawa pengasidan laut, secara langsung dan tidak langsung, memberi kesan terhadap kehidupan mamalia itu.
"Perubahan oseanografi juga memberi kesan besar terhadap mereka. Secara menyeluruh, perubahan iklim menjadikan paus tertekan, mengancam daya tahan mereka, mendorong mereka membawa diri ke kawasan laut yang asing bagi mereka dan menjejaskan kemampuan navigasi mereka.
"Oleh itu, memang menyedihkan kerana kita berkemungkinan akan menyaksikan lebih banyak kejadian paus terdampar di
kawasan cetek di seluruh dunia," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Saleem berkata demikian bagi mengulas kejadian seekor paus yang terdampar di kawasan cetek di pantai Hujung Sungai dekat Kuala Penyu pada 2 Ogos dan mati pada malam Khamis lepas.
Kata beliau pelbagai usaha dilakukan untuk menolong mamalia itu beralih ke kawasan lebih dalam, tetapi sejak awal lagi, para penyelamat mendapati paus itu tidak memberi tindak balas yang menunjukkan ia bersedia berenang ke kawasan lebih dalam.
"Perlakuan ini membayangkan ia tidak mampu mengendalikan tubuhnya yang berukuran 16 meter panjang dan seberat 10 tan itu. Sebenarnya, topografi kawasan berkenaan memudahkan mamalia ini untuk bergerak ke kawasan lebih dalam.
"Apabila terdampar di kawasan cetek, paus yang sihat dan kuat akan memberi tindak balas aktif untuk pergi ke kawasan lebih dalam dengan segera memanfaatkan usaha yang dilakukan penyelamat untuk menyelamatkannya," kata beliau.
Dr Saleem juga berkata pada hari berkenaan tidak berlaku keadaan oseanografi luar biasa yang boleh menyebabkan berlakunya tolakan ke arah pantai.
"Juga, tidak ada laporan tentang arus merah beracun di kawasan itu pada hari berkenaan. Mungkin, punca semula jadi, termasuk kelemahan, kesakitan dan kehilangan orientasi yang berpunca daripada masalah psikologi yang menyebabkan paus itu terdampar di Kuala Penyu dan menghembuskan nafas terakhirnya di situ.
"Jarang sekali paus sebesar itu boleh hidup lebih lama daripada itu. Lapisan tebal lemak yang menyeliputi paus itu juga menyebabkan berlaku pemanasan berlebihan dalam keadaan di kawasan tropika ini dan semua ini menyebabkannya lebih cepat menemui ajal," kata beliau.
Beliau berkata paus itu sentiasa disiram dengan air untuk menyejukkan dan membasahkan tubuhnya, tetapi apabila ajal semakin dekat, fungsi tubuhnya mula terhenti dan segala usaha yang dilakukan tidak banyak membantunya untuk terus hidup.
"Terdapat kesan calar dan luka di seluruh tubuhnya, tapi ini perkara biasa apabila seseekor haiwan akuatik besar hanyut di kawasan yang mempunyai permukaan kasar. Tidak terdapat tanda kecederaan serius luaran lain pada
tubuhnya.
"Saintis kami (UMS) Dr Julian Ransangan, Dr John Madin dan M. Ali serta petugas sokongan sedang meneruskan penyelidikan mereka mengenai paus jenis ini.
Mereka akan berkongsi lebih banyak maklumat daripada penyelidikan ini dari semasa ke semasa," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive