Pengikut Boyzzonne

Friday, August 3, 2012

Badminton: Boon Heong-Kien Keat mara separuh akhir Olimpik

Pasangan beregu negara Koo Kien Kiat dan Tan Boon Heong ketika beraksi menentang beregu Thailand Isara Bodin dan Jongjit Maneepong pada peringkat suku akhir badminton.

LONDON - Beregu nombor lapan dunia Koo Kien Keat/Tan Boon Heong menempah tiket ke separuh akhir beregu lelaki apabila menumpaskan pasangan Thailand pada perlawanan suku akhir Olimpik 2012 di Wembley Arena, di sini hari ini.

Beregu Malaysia itu mengalahkan Isara Bodin/Jongit Maneepong 21-16, 21-18 dalam masa 43 minit untuk bertemu beregu nombor dua dunia Cai Yun/Fu Haifeng dari China Sabtu ini.

Pasangan negara Tembok Besar itu mengalahkan rakan senegara mereka Chai Biao/Guo Zhendong 21-15, 21-19 dalam
satu lagi perlawanan suku akhir.

Dalam set pertama, Koo/Tan tidak menghadapi cabaran sengit dan melangkah mudah hingga berjaya mengumpul mata 9-0, 15-7 dan 19-13, sebelum pasangan Thailand yang menduduki ranking ke-19 dunia itu memperoleh empat mata mudah daripada mereka.

Bagaimanapun, Koo/Tan berjaya menyekat kebangkitan mereka dan memungut dua mata lagi sebelum menamatkan permainan dengan 21-16 dalam masa 17 minit.

Dalam set kedua, pasangan Malaysia itu terus mengutip mata demi mata tanpa banyak rintangan hingga ke peringkat 5-2, 12-5, 15-7.

Bagaimanapun, pada kedudukan 18-14, mereka kelihatan menghadapi tekanan untuk menamatkan perlawanan dengan pantas dan ini memberi ruang kepada pasangan Thailand untuk meraih tiga mata pada kedudukan 19-17.

Sebagai pemain berpengalaman, keadaan itu mampu diatasi dengan mudah oleh Koo dan Tan apabila mereka mengutip dua mata akhir untuk menamatkan perlawanan selama 23 minit itu dengan mata 21-18.

Koo berkata dia yakin mampu mengalahkan pasangan Thailand itu, walaupun di peringkat Olimpik, apa saja boleh berlaku.

"Saya terpaksa korbankan tidur saya malam tadi. Setiap bunyi, walau yang paling perlahan sekalipun, akan menarik perhatian saya kerana saya sentiasa memikirkan tentang cabaran pada peringkat suku akhir hari ini," katanya.

Koo berkata pertemuan dengan beregu China Sabtu ini melatakkannya dan Tan dua langkah lagi daripada meraih pingat emas Olimpik.

"Kami ingin mencapai yang terbaik dalam kerjaya kami, tapi kami tak mahu menekan diri sendiri. Walaupun tekanan pada peringkat separuh akhir lebih hebat daripada peringkat suku akhir, tetapi kami tak mahu terlalu memikirkannya," kata Koo.

Rekod pertarungan mereka dengan Cai Yun/Fu Haifeng sebelum ini ialah 4:9, yang memberi kelebihan kepada pasangan China itu.

Pada perlawanan terakhir mereka tahun ini iaitu kejohanan Piala Thomas di China pada Mei, beregu China itu mengalahkan pasangan Koo/Tan 21-17, 21-18.

Sementara itu, jurulatih kebangsaan Tan Kim Her berkata beliau agak lega apabila anak didiknya berjaya menumpaskan pasangan muda dari negara yang berjiran dengan Malasyia itu.

"Bermain menentang Cai Yun, Fu Haifeng, peluangnya ialah 50-50. Tapi, kalau mereka dapat kalahkan pasangan itu, saya berani mengatakan pingat emas Olimpik 2012 akan menjadi milik mereka," katanya.

Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, Chung Jae Sung/Lee Yong Dae dari Korea Selatan mengalahkan pasangan Indonesia Mohamad Ahsan/Bona Septano 21-12, 21-16, yang akan mempertemukan mereka dengan pasangan Mathias Boe/Carsten Mogensen dari Denmark dalam satu lagi perlawanan separuh akhir Sabtu ini.

Dalam perlawanan peringkat suku akhir hari ini, pasangan Denmark itu menumpaskan Fang Chieh Min/Lee Sheng Mu dari Taiwan 21-16, 21-18. - Bernama

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive