Pengikut Boyzzonne

Tuesday, July 31, 2012

Di mana ikon keamanan dunia ketika kaum Islam minoriti ditindas?


Presiden Myanmar, Thein Sein


 Dia dijulang sebagai wanita kental yang tidak pernah lelah memperjuang keadilan dan keamanan, sehingga terpaksa menghabiskan hampir 20 tahun hidupnya di bawah tahanan.

Bukan sahaja dunia Barat, pemimpin Islam seluruh dunia juga memandang tinggi kepada wanita bernama Aung San Suu Kyi ini.

Keazamannya dalam menentang penindasan kerajaan tentera Myanmar membuahkan hasil selepas dia akhirnya dibebaskan daripada tahanan rumah pada 2010 dan kini menjadi ketua pembangkang di Parlimen negara itu.

Tetapi apabila timbul isu keganasan terhadap etnik Rohingya, iaitu penduduk minoriti beragama Islam di Myanmar, kelantangan suara Suu Kyi hilang ditenggelami bunyi jeritan dan tangisan kaum itu yang diseksa dan dibunuh oleh etnik Rakhine beragama Buddha.

Keganasan yang kini telah berlarutan lebih lapan minggu di negeri Rakhine, berhampiran sempadan Bangladesh itu dipandang sepi oleh Suu Kyi.

Keengganan beliau untuk bersuara, menimbulkan banyak kritikan dan juga kekecewaan aktivis hak asasi manusia yang selama ini memuja wanita berumur 67 tahun itu.

Suu Kyi tidak mengkritik Presiden Myanmar, Thein Sein yang secara terang-terangan berkata 800,000 penduduk Rohingya itu ‘tidak diingini di Myanmar’ dan meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membawa mereka keluar dari negara itu.

Mungkin ramai yang bagai tidak percaya dengan kenyataan Thein Sein sebagai seorang ketua negara, tetapi apa yang lebih membingungkan adalah pendirian Suu Kyi sendiri.

“Ini mengecewakan. Dia berada dalam kedudukan yang sukar, tetapi ramai orang kecewa dia tidak bercakap apa-apa mengenai isu ini,” menurut pengarah eksekutif Kempen Burma Britain, Anna Roberts.

Pengarah badan hak asasi manusia Human Rights Watch di rantau Asia, Brad Adams pula mempersoalkan adakah Suu Kyi turut berkongsi kebencian mendalam penganut Buddha di negara itu terhadap orang Islam Rohingya, iaitu kaum minoriti berkulit gelap yang berpindah dari Bengal ke Myanmar ratusan tahun lalu.

“Keganasan ini tercetus semasa Suu Kyi dalam rangka lawatan ke Eropah tetapi dia langsung tidak menyentuh mengenai hal ini.

“Ini menimbulkan syak wasangka terhadap pendirian sebenar beliau mengenai hal ini,” katanya.

Suu Kyi pernah ditanya mengenai isu Rohingya, tetapi hanya menjawab secara kabur bahawa Myanmar memerlukan undang-undang migrasi yang jelas.
Aung San Suu Kyi ini




Tetapi jawapannya itu hanya menunjukkan bahawa dia menganggap etnik Rohingya sebagai pendatang dan bukannya rakyat negara itu.

Minggu lalu, Suu Kyi dalam kenyataan di Parlimen negaranya menggesa undang-undang melindungi hak etnik minoriti diwujudkan, tetapi ia dipercayai merujuk kepada hak kumpulan-kumpulan etnik berbeza di Myanmar, dan bukannya mengenai penindasan yang berlaku terhadap etnik Rohingya.

Awal bulan ini, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) menggesa Suu Kyi membantu menamatkan keganasan terhadap etnik Rohingya.

“Sebagai penerima Nobel Keamanan, kami yakin langkah pertama anda perlu lakukan untuk memastikan keamanan di seluruh dunia bermula dengan negara anda sendiri,” menurut Pengerusi OIC, Ekmeleddin Ihsanoglu dalam suratnya kepada Suu Kyi.

Menurut penganalisis politik, keganasan kaum yang melanda Myanmar meletakkan Suu Kyi di bawah tekanan kerana perpecahan yang sedia wujud antara agama dan etnik di negara itu.
Kaum Rohingya melarikan diri ke Bangladesh menaiki bot akibat konflik di Myanmar. Gambar: AP
Dan Suu Kyi, sebagai ahli politik, tentu tidak mahu tersilap langkah hingga terpijak ‘periuk api’ yang akan memusnahkan karier politiknya yang baru hendak bercambah selepas puluhan tahun diletakkan di bawah tahanan rumah oleh kerajaan tentera Myanmar sebelum ini.
Seorang sami menunjukkan slogan anti-Rohingya pada tapak tangannya. - Gambar AP




“Kami merayu kepada PBB, negara luar, kerajaan Myanmar dan paling utama sekali, kepada Suu Kyi (untuk bantu tamatkan keganasan),” kata Mohammad Islam, ketua pelarian Rohingya yang tinggal di kem pelarian bandar Teknaf, Bangladesh.

“Suu Kyi belum pernah mempertahan atau berbuat apa-apa untuk kami, tetapi kaum Rohingya, termasuk ibu bapa saya, berkempen untuknya semasa pilihan raya 1990,” tambah Mohammad.

Adakah Suu Kyi akan menyahut rayuan  Rohingya ini?

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive