Anggota Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, berusaha memadamkan kebakaran melibatkan kereta Proton Waja, yang terbabas selepas cuba melarikan diri daripada pihak polis |
PASIR MAS – Seorang wanita berusia 20-an ditahan bagi membantu siasatan berhubung beberapa kes samun pada jam 2 pagi di Kampung Galok, Chetok semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, wanita ini ditahan selepas kenderaan yang dinaiki bersama dua lagi rakannya terbakar setelah melanggar lampu jalan.
Katanya, wanita yang berasal dari Pasir Puteh itu ditahan ketika sedang
bersembunyi di kawasan semak, namun dua lagi rakannya berjaya meloloskan diri.
“Sepasukan polis dari cawangan Jenayah D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen membuat rondaan dan mendapati ketiga-tiga individu ini berada dalam keadaan mencurigakan.
“Kita mengekori dan menahan mereka di ke Kampung Kubang Bemban, namun suspek kemudiannya memecut serta hampir melanggar anggota berkenaan,” katanya, semalam.
Menurutnya, bagi menghalang perbuatan suspek, tembakan dilepaskan di bahagian tayar menyebabkan kenderaan tersebut terbabas di bahu jalan.
Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat pemotong besi, parang dan pengumpil besi di dalam kenderaan berkenaan.
Menurutnya, kenderaan berkenaan milik pemain bola sepak Liga Super Kuala Lumpur yang dipinjamkan pasukan Kelantan yang dipercayai curi sebelum ini.
“Pemiliknya, membuat laporan polis berhubung kehilangan kenderaannya, selepas menyedari kereta yang diparkir di Kelantan Trade Centre (KTC) Kota Bharu, hilang sehari sebelum kejadian.
No comments:
Post a Comment