Arizona – William Mason, 40, tidak akan sekali-kali melupakan pengalaman bagaimana sebatang pokok kaktus setinggi 16 kaki menimpanya.
Ini kerana, kemalangan berkenaan telah mengubah hidupnya malah dia kini terpaksa
menjalani terapi selama tiga kali seminggu ketika duri pokok kaktus masih berada dalam badannya.
“Ia amat menakutkan,’’ kata pekerja teknikal itu dalam kemalangan yang berlaku pada 19 Jun lalu ketika dia sedang membaiki paip bocor bersama rakan sekerjanya.
Apa yang dapat diingatinya ialah jeritan rakan-rakannya supaya berhati-hati sebelum sebatang pokok kaktus jenis paling besar di negara itu menimpanya.
“Ia mula-mula menimpa kepala saya, sebelum kaki kiri saya patah manakala beratus-ratus duri menikam ke dalam badan saya.
“Ketika itu saya hanya berharap supaya pohon tersebut dialihkan segera daripada badan saya,’’ katanya.
Selepas kemalangan itu, Mason terpaksa menjalani pembedahan dan sekeping besi terpaksa dimasukkan ke dalam pinggangnya hingga ke lutut.
Doktor juga terpaksa mengeluarkan 146 duri kaktus daripada badannya sepanjang dia dirawat di Hospital Wilayah Yuma, bulan lepas.
Pengalaman itu bagaimanapun, kata Mason telah mengubah hidupnya untuk lebih menghargai dirinya dan membantu insan lain yang lebih memerlukan bantuan.
“Selepas terlibat dalam kemalangan ini, saya dapat melihat bagaimana orang ramai daripada pelbagai peringkat, malah ada yang tidak saya kenali membantu dan memberikan sokongan kepada saya,’’ katanya.
Setakat ini tidak diketahui punca pokok kaktus itu tumbang dan kemalangan itu masih dalam siasatan.
No comments:
Post a Comment