Pengikut Boyzzonne

Friday, August 17, 2012

10 cedera, bas jatuh dalam cerun di Kelantan

Bas yang terjunam dalam gaung di Kilometer 57, Jalan Kuala Krai-Gua Musang

KUALA KRAI - Sekumpulan kakitangan beberapa agensi kerajaan nyaris maut apabila bas sewa khas dinaiki mereka terjunam ke dalam cerun di Kilometer 57, Jalan Kuala Krai-Gua Musang dekat Sungai Lakit, Gua Musang, awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 7 pagi berlaku ketika bas membawa 10 kakitangan kerajaan bersama dua pemandu dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Gua Musang.
Walaupun bas itu berpusing-pusing dan
terbalik tiga kali, kesemua mereka bernasib baik apabila hanya mengalami cedera ringan.
Kakitangan awam terlibat ialah adalah mereka dari Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar); masing-masing dua kakitangan Jabatan Kerja Raya dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan serta seorang staf Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang.
Dalam pada itu, laporan Bernama menyebut bahawa kejadian itu turut menyebabkan pemandu utama bas berkenaan, Raja Mohd Adli Raja Ibrahim, 38, tercampak keluar daripada bas
manakala penumpang lain cedera pada bahagian badan, muka serta kaki, dan dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan.
Raja Mohd Adli berkata ketika kejadian, dia cuba mengelak sebuah pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan, namun gagal sehingga bas yang dipandunya itu terjatuh ke dalam cerun.
"Apa yang saya ingat, bas berpusing kira-kira dua atau tiga kali sebelum masuk ke dalam cerun. Mujurlah saya dapat mengelak daripada bertembung dengan Hilux (pacuan empat roda) yang sedang naik bukit, manakala saya pula turun bukit... kalau tidak tentu keadaan mungkin jadi teruk.
"Kejadian itu berlaku cukup pantas dan saya hanya sedar sudah berada di luar bas dan rasa sakit pada bahagian pinggang serta tangan sebelah kiri berdarah sehingga menampakkan daging," katanya ketika ditemui di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Kuala Krai, di sini.
Pemandu kedua bas itu, Zaki Mat Husain, 36, berkata mereka sempat singgah di Masjid Kampung Pahi, Kuala Krai untuk menunaikan solat Subuh sebelum meneruskan perjalanan ke Gua Musang.
"Saya memandu dari Kota Baharu hingga ke Kuala Krai sebelum Raja Mohd Adli menyambung tugas itu dan ketika tidur, tiba-tiba saya rasa berguling sebelum terjatuh di atas lantai bas.
"Bagaimanapun, saya dapat keluar menggunakan pintu kecemasan manakala mangsa yang lain dibantu orang ramai yang menyaksikan kejadian itu," katanya yang cedera ringan pada bahagian muka.
Pekerja Jabatan Kerja Raya, Mohd Suhaimi Abdullah, 54, berasal dari Tendong, Pasir Mas, berkata akibat kemalangan itu dia mengalami kecederaan pada bahagian kaki kirinya.
"Saya dibawa keluar daripada bas berkenaan dengan bantuan orang ramai..., katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang Ariff Yussof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.55 pagi dan menghantar 10 anggota dan dua jentera ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba di tempat kejadian semua mangsa sudah berada di tepi jalan selepas berjaya merangkak keluar dan dibantu oleh orang ramai," katanya.

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive