Pengikut Boyzzonne

Friday, August 17, 2012

Sidang luar biasa OIC buat 3 ketetapan

NAJIB menerima kunjungan hormat Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari sempena persidangan kemuncak luar biasa OIC di Mekah kelmarin.

MEKAH - Sidang kemuncak luar biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berakhir semalam telah membuat tiga ketetapan penting untuk dilaksanakan dengan segera.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ketiga-tiga ketetapan yang disokong penuh oleh Malaysia itu ialah
menggantung keanggotaan Syria dalam OIC, gesaan mengiktiraf negara Palestin sebagai negara berdaulat dan membela nasib umat Islam Rohingya di Myanmar.
Katanya, sidang kemuncak juga menggariskan beberapa tindakan segera yang perlu diambil termasuk menyokong cadangan Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz Al Saud agar diwujudkan sebuah Pusat Dialog Islam bagi membincang isu-isu berkaitan fahaman mahzab.
"Sidang kemuncak yang berlangsung di Mekah ini telah membentuk satu semangat baru bagi OIC dan menimbulkan keinsafan bagi pemimpin negara-negara Islam mengenai isu-isu umat Islam yang sedang melanda dunia hari ini," katanya kepada pemberita Malaysia di sini semalam.
Beliau berkata, ketetapan yang diluluskan di tanah suci Mekah itu merupakan sesuatu yang istimewa pada sidang OIC kali ini.
Sementara itu, dalam ucapan pada sidang kemuncak itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia menyokong keputusan menggantung keanggotaan Syria selepas menimbangkan bahawa tindakan itu sebagai mesej jelas mengenai perlunya menghentikan pertumpahan darah dan menyelesaikan secara aman krisis itu demi rakyat Syria.
Perdana Menteri berkata, keganasan yang memuncak di Syria adalah sesuatu yang menyedihkan, mengejutkan dan memalukan kerana rakyat terus menyaksikan pembunuhan, penderitaan dan kehilangan nyawa orang tidak bersalah termasuk wanita dan kanak-kanak.
Najib berkata, ribuan rakyat Syria terpaksa meninggalkan tanah air dan mendapatkan perlindungan di negara-negara jiran dan sukar untuk dibayangkan bagaimana sebuah negara seperti Syria - yang kaya dan berbangga dengan sejarah yang dihormati - boleh terjebak dengan tindakan tidak bertamadun.
"Kerajaan Syria mesti diberitahu, serangan dan bedilan ke atas rakyatnya sendiri termasuk di kawasan orang awam perlu dihentikan segera.
"Sukar untuk dibayangkan selepas begitu banyak pembunuhan dan penindasan dilakukan terhadap rakyatnya sendiri, bagaimana seorang pemimpin sanggup untuk terus berkuasa tanpa sekelumit rasa bersalah dan bertanggungjawab," katanya.
Konflik di Syria bermula pada Mac 2011 dengan demonstrasi awam sebagai sebahagian gerakan 'Arab Spring' yang berlarutan menjadi pemberontakan di seluruh negara.
Perusuh mendesak supaya ditamatkan pemerintahan hampir lima dekad oleh Parti Ba'ath dan peletakan jawatan Presiden Bashar al-Assad. - Bernama

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive