SHAH ALAM - Polis menahan seorang pemuda yang merupakan abang ipar kepada Sabturiah Faisal, 19, bagi membantu siasatan kes bunuh dan rogol gadis itu di sebuah
rumah di Taming Jaya, Balakong pada Isnin lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, lelaki berusia 26 tahun itu ditahan pada pukul 2 petang kelmarin di sebuah kilang di Jalan Semenyih, Kajang tempat suspek bekerja.
"Siasatan awal mendapati suspek bekerja di sebuah kilang sama dengan adik iparnya yang menjadi mangsa bunuh dan isteri suspek sendiri.
"Setakat ini, lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan mengenai kematian Sabturiah," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini.
Menurut beliau, abang ipar mangsa ditahan dan direman sehingga 21 Ogos lalu selepas lelaki itu dipercayai memberi keterangan meragukan kepada polis berhubung kejadian yang menimpa anak ketujuh daripada 12 adik-beradik itu.
Difahamkan, pada hari kejadian, abang ipar Sabturiah dikatakan 'hilang' dari tempat kerjanya selama satu jam pada waktu tengah hari sebelum kembali menyambung tugas pada sebelah petang.
Akhbar pada Rabu lalu melaporkan, mayat Sabturiah yang berasal dari Kampung Merotai Besar dekat Tawau, Sabah dijumpai dalam keadaan terlentang di dalam bilik tidurnya oleh abang ipar mangsa pada pukul 7 malam Isnin lalu.
Laporan bedah siasat yang dikeluarkan oleh pakar patologi dari Hospital Serdang menunjukkan hampir semua organ dalaman mangsa yang masih bujang lebam manakala hati mangsa pecah.
Pemeriksaan juga mendapati mangsa dirogol selepas kematiannya dipercayai pada waktu tengah hari sebelum mayatnya dijumpai pada sebelah petang.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.
No comments:
Post a Comment