Pengikut Boyzzonne

Wednesday, August 15, 2012

Mangsa sempat beli baju raya

Mangsa yang cedera parah pada anggota badan dan kepala dan dibawa ke Hospital Jempol untuk bedah siasat.


JEMPOL - Hasrat seorang pelajar Kolej Komuniti, Mahsan di sini untuk menyambut lebaran beberapa hari lagi tidak kesampaian setelah terlibat dalam kemalangan membabitkan lori muatan kertas kitar semula di Kilometer dua jalan Bahau-Kemayan, malam kelmarin.

Ketua Polis daerah, Superitendan Hamzah Alias berkata, mangsa, Hamizi Jaafar, 18 menunggang motosikal jenis Honda Wave bersama rakannya menuju ke Mahsan selepas
membeli-belah di pekan Bahau.

“Namun, sebaik tiba di lokasi kejadian pada kira-kira jam 9.40 malam, mangsa dipercayai memotong sebelah lori kontena muatan kertas kitar semula melalui laluan kiri, juga dari arah sama.

“Setelah memotong, motosikal mangsa tersasar sehingga masuk ke bahu jalan laluan sama, kemudian cuba naik semula ke atas jalan, tetapi hilang kawalan.

“Susulan itu, rakan mangsa terjatuh atas jalanraya namun sempat lari ke tepi jalan manakala mangsa tercampak ke laluan bertentangan,” katanya ketika mengesahkan kejadian itu, semalam.

Sementara itu, Hamzah berkata, pemandu lori berkenaan yang berumur, 40-an cuba mengelak daripada melanggar mangsa sehingga ke laluan bertentang dan beranggapan mangsa terjatuh di laluan asal.

“Namun pemandu lori itu tidak menyangka mangsa berada di laluan bertentangan menyebabkan separuh daripada badan mangsa tergilis.

“Mangsa cedera parah dan maut di tempat kejadian, manakala rakannya mengalami cedera ringan.

“Siasatan terperinci berhubung insiden ini masih dijalankan dan saksi yang melihat kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 ini,” katanya.

Difahamkan, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Jempol untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya tengah hari semalam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Melaka.

Sementara itu, rakan mangsa, Farid Zuan Munef, 18 berkata, mangsa sempat membeli kemeja warna hitam di pekan Bahau.
“Malam sebelum kejadian, Hamizi memberitahu mahu ke pekan untuk beli baju raya. Jadi saya teman dia dan keluar selepas waktu berbuka,” katanya yang turut melahirkan rasa sedih susulan tidak dapat selamatkan rakannya itu.

1 comment:

SHARE THIS

Blog Archive