Pengikut Boyzzonne

Friday, August 17, 2012

Kanak-Kanak Lima Tahun Maut Dilanggar Ketika Ke Kedai Runcit


TEMERLOH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang berbasikal ke sebuah kedai runcit berdekatan rumahnya, maut dilanggar sebuah lori di hadapan
kedai berkenaan di Taman Tualang Indah, dekat kawasan perindustrian Temerloh.
Dalam kejadian 7.40 malam Rabu, kanak-kanak itu, Khairul Azmi Abdul Rashid, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Temerloh, Supt Zundin Mahmood, sebelum kejadian, kanak-kanak itu dikatakan merengek-rengek dengan ibunya meminta izin untuk membeli mainan yang berharga 50 sen.
"Di tempat kejadian, pemandu lori terbabit, 36, yang baru sahaja membeli rokok menghidupkan enjin kenderaannya untuk meneruskan perjalanan.
"Tiba-tiba dia terdengar bunyi seretan yang kuat di bawah kenderaannya lalu berhenti untuk membuat pemeriksaan.
"Pemandu lori terbabit mendapati terdapat sebuah basikal kecil di bawah lorinya dan di belakang kenderaannya pula kelihatan mangsa terbaring," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata mangsa parah di kepala akibat digilis dan mati di tempat kejadian dengan mayatnya dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah untuk bedah siasat.
"Jenazah kanak-kanak itu telah dituntut keluarganya lewat malam tadi dan telah selamat dikebumikan," katanya.
Zundin berkata kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive