Pengikut Boyzzonne

Friday, August 17, 2012

Hos gas terlucut, dapur meletup

SUNGAI PETANI - “Masih ada 72 bekas biskut raya tempahan pelanggan yang belum disiapkan. Namun saya tetap reda dengan kejadian ini dan menganggapnya sebagai takdir ALLAH SWT,” demikian luahan mangsa kebakaran di Flat Paya Nahu, awal pagi semalam.

Fithal Mohamad, 55, dan isterinya menjalankan perniagaan
biskut raya di rumah dan akibat kebakaran jam 2.30 pagi Khamis lalu, peralatan membakar, perkakasan membuat kuih, peti ais dan mesin basuh musnah.

Menurutnya, walaupun masih berbaki dua hari untuk sambut Aidilfitri, masih terdapat 72 bekas biskut raya perlu disiapkan, namun dengan kejadian itu, dia berharap pelanggannya memahami keadaan yang menimpa mereka sekeluarga.

“Kejadian dikatakan berpunca apabila hos gas memasak terlucut dari tempat asal dan berlaku kebocoran.

“Apabila dapur dihidupkan, gas merebak ke udara dan menyebabkan berlaku letupan hingga mengakibatkan keseluruhan bahagian dapur terbakar,” katanya kepada Sinar Harian.

Ketika kejadian, empat anaknya berusia lima hingga 16 tahun berjaya diselamatkan.

Menurutnya, sambutan Hari Raya baginya kali ini agak hambar dan keadaan anak-anak masih trauma dengan kejadian itu.

“Kami juga akan berpindah dan menumpang sementara di rumah saudara berdekatan sebelum keadaan kembali stabil,” katanya.

Isterinya, Samsiah Hamid, 44, berkata, mujur kesemua persiapan baju raya anak-anaknya masih boleh dipakai kecuali sepasang baju raya miliknya yang terletak di dapur hangus dalam kebakaran.

“Raya akan disambut juga tetapi tidak semeriah tahun sebelumnya,” katanya.

Menurutnya, kesemua peralatan membuat biskut raya, perabot, ketuhar, mesin basuh dan kelengkapan lain yang terjejas melibatkan kerugian dianggarkan mencecah RM30,000.

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive