Pengikut Boyzzonne

Monday, September 24, 2012

Surat bongkar misteri 5 tahun


SUNGAI PETANI: Sepucuk surat yang diterima sebuah keluarga membongkar misteri kehilangan anak perempuan mereka yang ‘lesap’ sejak lima tahun lalu apabila didapati sudah mempunyai seorang bayi lelaki berusia empat bulan.
Surat bertarikh 8 Ogos lalu diterima keluarga Abdul Hamid Mat, 50, pada Jumaat lalu memaklumkan anak perempuan mereka, Munirah, 21 (gambar), hidup dalam kesempitan di Flores Timur, Indonesia dan memerlukan wang untuk kembali ke negara ini.

Selain itu, surat berkenaan turut menyatakan bahawa
anak ketiga daripada lima beradik berkenaan sudah berkahwin dengan lelaki warga Indonesia, Yohanes Kaya Masan.
Abdul Hamid dari Kampung Nelayan, Tanjung Dawai, ketika dihubungi berkata, dia terkejut menerima surat daripada posmen lalu meminta anak keempat untuk membacanya kerana dia tidak mampu berbuat demikian akibat begitu sebak.

Menurutnya, perasaannya ketika itu bercampur-baur, tetapi mula lega apabila mengetahui anak perempuan yang meninggalkan keluarga sejak lima tahun lalu masih hidup, namun mengalami kesulitan kerana berada di negara jiran.

“Besar harapan saya untuk bertemu dengan anak dan cucu lelaki apabila melihat beberapa keping gambar yang turut dikirimkan bersama surat berkenaan. Saya bersama keluarga bersedia untuk terima apa saja keadaan Munirah,” katanya, semalam.
Menurutnya, dia sememangnya menunggu khabar berita daripada Munirah selepas dia dikatakan mengikut seorang lelaki warga Indonesia ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari Sekolah Menengah Seri Badung, dekat Singkir, Yan pada 2008. Katanya, sebelum ini, dia juga pernah menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Munirah iaitu beberapa bulan selepas kehilangannya, lalu pergi mencarinya di Tanjung Batu di Seberang Batam, Indonesia, tetapi gagal menemuinya.

“Saya terpaksa menggunakan perbelanjaan sendiri untuk mencari Munirah semata-mata kerana tidak sanggup menahan rindu,” katanya.
Sementara itu, Penyelaras Parlimen Merbok, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, pihaknya akan membantu mengesan Munirah dengan bantuan Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang mempunyai pengalaman dalam kes sedemikian.

“Saya harap keluarga Munirah dapat bersabar,” katanya.

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive