Pengikut Boyzzonne

Friday, September 28, 2012

Najib Dipuji Berhubung Pendirian Filem Anti-Islam


KUALA LUMPUR – The Wall Street Journal (WSJ) memuji kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyeru supaya umat Islam bertindak secara aman dan tidak memilih keganasan sebagai
respons terhadap filem anti-Islam dan juga karikatur yang memfitnah dan menghina Nabi Muhammad S.A.W.
Dalam satu artikel, WSJ menyebut bahawa rusuhan di dunia Islam baru-baru ini menunjukkan bahawa perkataan boleh menimbulkan huru hara apabila diucapkan oleh mereka yang berkuasa bagi menghasut kepada keganasan. “Nasihat Najib bagi meredakan kemarahan umat Islam yang meluap-luap berhubung perkara itu supaya mereka bertindak balas terhadap provokasi dengan bantahan secara aman adalah dialu-alukan,” kata pendapat itu.
Menurut pendapat itu penolakan Perdana Menteri Malaysia terhadap ekstremisme berbeza dengan apa yang digambarkan oleh pendapat itu sebagai “retorik beracun” yang datang daripada beberapa ibu negara umat Islam bulan lalu.
Artikel WSJ merujuk kepada entri dalam blog Najib pada 20 September berhubung filem ‘Innocence of Muslims’ dan karikatur yang diterbitkan oleh majalah Perancis ‘Charlie Hebdo’ yang mencetuskan bantahan ganas di seluruh dunia.
Najib meminta umat Islam supaya terus bertindak secara aman dan bukannya berpaling kepada keganasan sebagai satu cara untuk menunjukkan rasa tidak puas hati.
WSJ memetik pemimpin Malaysia itu sebagai berkata bahawa “Kini, kita seharusnya meningkatkan lagi penghormatan, toleransi dan persefahaman antara satu sama lain agar kita dapat hidup dalam keadaan yang aman dan damai”.
Menurut pendapat itu: “Sementara mengatakan filem dan karikatur itu adalah penghinaan kepada umat Islam’, Najib berkata bahawa mereka mungkin tidak melanggar undang-undang dunia Barat.”
Dalam entri blog 1Malaysia, Najib menulis bahawa “penghasilan video itu menyinggung perasaan dan memang dikutuk oleh pemimpin-pemimpin di seluruh dunia.”
Pemimpin Malaysia itu terus dengan pemerhatian ini: “Charlie Hebdo mungkin tidak melanggar undang-undang Perancis dalam mencetak karikatur itu, namun kita pertikaikan etikanya dalam membuat sesuatu keputusan dan menimbulkan provokasi lebih-lebih lagi pada masa kini yang keadaannya telah sedia genting.”
Artikel WSJ itu juga memuji atas usaha Najib menjemput negara-negara lain tanpa mengira bangsa dan agama untuk menyertai usahanya dalam pelaksanaan Pergerakan Kesederhanaan Global yang diumumkan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun lalu.
Pendapat itu juga menyebut bahawa Perdana Menteri Britain David Cameron dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Clinton menyokong konsep itu.
WSJ berpendapat bahawa usaha Malaysia untuk mengiklankan kesederhanaan agama adalah selaras dengan usahanya untuk mengintegrasikan negara itu dalam ekonomi dunia.
“Ia adalah satu daripada dua negara Islam (satu lagi adalah Brunei) yang berunding bagi menyertai Perkongsian Trans Pasifik yang diterajui Amerika, yang menurut satu kaji selidik akan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 2.7 peratus,” kata pendapat itu. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive