KUALA LUMPUR – Selepas menganjurkan Perhimpunan Bersih 3.0 yang menimbulkan banyak kekecohan pada 28 April lalu, jawatankuasa organisasi tersebut merancang untuk mengadakan Konsert Bersih 8T pada 13 Oktober ini.
Menurut Jawatankuasa Pemandu Bersih, konsert berkenaan dirancangkan diadakan di Stadium Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor bermula pukul 6 petang hingga 11.30 malam dan orang ramai yang mahu menyertainya diminta memberi derma.
“Kerajaan tidak mahu mendengar lapan tuntutan Bersih dan 22 cadangan dari laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) pula masih belum dikuatkuasakan sepenuhnya.
“Justeru Bersih akan mengadakan konsert pada 13 Oktober di Stadium Kelana Jaya bertujuan mengingatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tentang lapan tuntutan Bersih yang masih belum ditunaikan,” dakwa kenyataan itu hari ini.
Kata kenyataan itu, konsert itu melibatkan persembahan Ito, Julian Mokhtar and The Geng, Republic of Brickfields, kumpulan punk Dum Dum Tak, kumpulan Canto Pop Rock Hui Se De Dai dan Ray Cheong serta bacaan sajak oleh Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said.
Dakwa kenyataan itu, Konsert Bersih 8T berkonsepkan bersantai sambil mengingatkan pemimpin kerajaan tentang tanggungjawab melakukan reformasi penambahbaik sistem pilihan raya.
Perhimpunan Bersih 3.0 sebelum ini menyebabkan seramai 115 individu diburu kerana dipercayai terlibat dalam kekecohan yang berlaku dalam perhimpunan itu sehingga menyebabkan 11 anggota polis cedera dan empat kenderaan rosak.
No comments:
Post a Comment