KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Bhd, anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), hari ini mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 6.60 sen seunit bagi Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) untuk tahun kewangan berakhir 30 Sept, 2012.
Pengerusinya Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata agihan pendapatan ketiga itu merupakan
peningkatan sebanyak 0.10 sen seunit berbanding dengan 6.50 sen seunit yang diumumkan tahun lepas.
Beliau berkata agihan pendapatan akan melibatkan pembayaran sebanyak RM459.86 juta, peningkatan sebanyak 49.1 peratus berbanding dengan pembayaran jumlah tahun sebelumnya sebanyak RM308.40 juta.
“Sebanyak 336,411 pemegang unit, yang kini memegang 8.02 bilion unit AS1M, akan mendapat manfaat daripada pembayaran ini,” kata beliau ketika mengumumkan agihan pendapatan itu hari ini.
Ahmad Sarji berkata sehingga 25 Sept, AS1M mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM577.4 juta.
Beliau berkata keuntungan daripada jualan saham menyumbang RM158.1 juta atau 27.4 peratus manakala baki RM101 juta atau 17.5 peratus diperoleh daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan pendapatan lain.
“Pendapatan dividen daripada syarikat-syarikat pelaburan menyumbang RM318.3 juta atau 55.1 peratus daripada pendapatan kasar,” katanya.
Beliau berkata semua pengagihan pendapatan akan dikreditkan secara automatik ke akaun pemegang unit pada 1 Okt.
Pengiraan pengagihan pendapatan AS1M akan berdasarkan purata baki minimum bulanan yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana, kata beliau.
AS1M merupakan dana harga tetap dengan saiz 10 bilion unit dengan 50 peratus saiz diluluskan dibuka untuk pelabur Bumiputera, 30 peratus diperuntukkan kepada kaum Cina, 15 peratus untuk kaum India dan selebihnya untuk rakyat Malaysia yang lain.- BERNAMA
No comments:
Post a Comment