Dikenali sebagai The Little England, Bukit Fraser adalah salah satu tempat wajib dikunjungi jika ke Pahang kerana ia memiliki panorama indah dikelilingi alam semula jadi.
Walaupun jalan menuju ke Bukit Fraser bersimpang-siur dan memenatkan, namun apabila sampai ke puncaknya segala penat lelah pasti akan hilang dek kerana terpikat dengan susasana kehijauannya.
Mengenai Bukit Fraser, kawasan itu dikatakan ditemui oleh seorang rakyat Scotland, Louis James Fraser pada 1890-an.
Ia menjadi tempat pegawai Inggeris dan keluarga mereka
berehat berikutan cuacanya yang dingin.
Oleh demikian, bersempena Malaysia Tourism Hunt (MTH) 2012 baru-baru ini, Bukit Fraser menjadi antara destinasi persinggahan lebih daripada 100 wakil media tempatan dan antarabangsa serta agensi pelancongan mewakili seluruh negeri di Malaysia.
Bagi yang pertama kali sampai di Bukit Fraser, anda pasti merasakan seperti berada di luar negara.
Dengan cuaca dingin diselaputi kabus keputihan seperti kapas serta keindahan deretan bunga segar pelbagai warna, anda tidak perlu lagi pergi jauh semata-mata mahu mendapatkan suasana seperti itu kerana segalanya ada di Bukit Fraser.
Rata-rata peserta antarabangsa yang hadir pada program Malaysia Tourism Hunt 2012 setuju dengan mengatakan keindahan di Bukit Fraser amat mengagumkan.
Ia amat berbeza dengan suasa hiruk-pikuk di bandar. Malah hiduplah udara segar sepuas hati kerana ia bersih dan bebas dari pencemaran.
Bagi peminat sukan golf, anda boleh melakukan aktiviti itu di Kelab Golf Bukit Fraser (FHGC), padang golf tanah tinggi pertama di negara ini yang dibina pada 1925.
Bagi yang datang bersama keluarga pula, anda boleh membawa anak-anak menunggang kuda di The Paddock, bermain panah atau mengayuh ‘paddle boat’ di Tasik Allan.
Dengan kapasiti penduduk kurang daripada 1000 orang, Bukit Fraser juga antara lokasi sesuai bagi penggemar pemerhati burung kerana ada lebih 270 spesies burung tempatan dan yang berhijrah ke situ.
Oleh sebab itu, aktiviti mengenal nama burung dan menangkap gambar lima jenis burung berlainan diberikan kepada peserta MTH 2012.
Selain itu, di Bukit Fraser terdapat juga beberapa jenis denai yang boleh diterokai.
Antaranya denai di Bishop sejauh 1,500 meter (m), Abu Suradi (500m), Hemmant (1,000m), Maxwell (1,800m), Mager (1,000m) dan Rompin (500m).
Sambil meneroka, pengunjung boleh melihat keindahan flora dan fauna yang berbeza yang terdapat di sepanjang denai-denai itu.
Jika mahu ke Bukit Fraser anda boleh menggunakan Lebuhraya Plus dari Kuala Lumpur dan akan keluar di Plaza Tol Bukit Beruntung, sebelum memasuki jalan ke Kuala Kubu Bharu.
Maklumat lanjut berhubung Bukit Fraser boleh didapati di PKBF menerusi telefon 09-5171623/24 atau Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) 09-5161007.
Oleh: NURUL NAFISAH MAZLAN
Foto: GAYA TRAVEL MAGAZINE/ MALAYSIA TRULY ASIA
No comments:
Post a Comment