JASMANI (kanan) menziarahi Filyx yang dirawat di HTAA yang cedera selepas kereta dipandunya terbabas selepas dia ditendang oleh banduan kelmarin. |
KUANTAN - "Banduan yang saya bawa tiba-tiba menendang muka saya dua kali menyebabkan saya gagal mengawal kereta sebelum kenderaan tersebut terbabas melanggar lori di tepi jalan.
"Dalam keadaan separuh sedar, saya nampak dua rakan saya bergelut dengan banduan itu."
Demikian cerita Konstabel Filyx Lansaver a/l Jinol, 25, yang patah paha kanan selepas kereta polis dipandunya merempuh belakang sebuah lori di bahu jalan di Jalan Kuantan-By Pass dekat sini pada pukul 11.45 pagi kelmarin.
Selepas kemalangan itu, Filyx memberitahu, dia pengsan dan tidak mengetahui apa yang berlaku ke atas rakannya, Koperal Abd. Rashid Ahmad, 51, (penumpang hadapan) serta Koperal Zulhairi Ramli, 24, serta seorang banduan yang dibawanya.
Filyx yang bujang dan berasal dari Sarawak memberitahu, dia tidak menyangka banduan itu sanggup bertindak agresif kerana mahu melarikan diri dan ini merupakan pengalaman pertama dia ditendang penjenayah sejak berkhidmat dalam polis tiga tahun lalu.
"Tendangan pertama mengenai pipi dan diikuti tendangan penuh ke muka saya sebaik saya menoleh ke belakang untuk melihat banduan terbabit," kata anggota polis itu ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan di sini semalam.
Sementara itu, Norliyati Abdul Rahman, 43, isteri kepada Abd. Rashid berkata, dia terkejut selepas dimaklumkan suaminya terlibat dengan kemalangan.
"Bila saya sampai ke hospital saya bersyukur kerana suami hanya cedera di muka, tangan dan pinggul sahaja," kata wanita itu.
Zulhairi pula cedera di leher dan masih dirawat di HTAA.
Filyx, Abd. Rashid dan Zulhairi merupakan tiga anggota polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Berang, Terengganu,
Semasa kejadian, ketiga-tiga anggota polis berkenaan dalam perjalanan membawa banduan yang baru dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan sepuluh sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas kesalahan mengikut Seksyen 39 A (2) Akta Dadah Berbahaya 1953 dari IPD Kuala Berang, menuju ke Penjara Penor.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, banduan itu, Roslan Ismail, 32, sudah ditangkap semula pada pukul 11 malam hari yang sama di Taman Dato Rashid.
"Banduan itu ditangkap di kawasan perumahan untuk meminta air dan makanan selain merayu supaya gari di tangannya dibuka oleh penduduk di situ," kata beliau ketika melawat tiga anggota polis yang dirawat di HTAA.
Menurut beliau, banduan terbabit sudah dihantar ke Penjara Penor petang semalam atas kesalahan dadah manakala dakwaan menyerang anggota polis akan dilakukan dalam tempoh terdekat mengikut Seksyen 224/333 Kanun Keseksaan.
No comments:
Post a Comment