KUALA LUMPUR – Selepas hampir setahun menggunakan telefon bimbit, pengarah dan penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam mengakui berasa tertekan kerana kerap diganggu dengan hal yang remeh-temeh.
Setiap masalah yang berlaku di lokasi pengambaran juga
dilaporkan kepadanya.
Keadaan itulah yang membuatkan Yusof berasa tidak senang kerana dia sering diganggu ketika sibuk menjalankan tugasnya.
“Sepanjang hampir setahun memiliki telefon bimbit, macam-macam panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang saya diterima.
“Bayangkan, ketika sibuk, masa itulah budak-budak produksi SMS saya mengadu tentang artis datang lewat atau tidak berdisiplin serta perkara-perkara remeh lain.
“Macam dahulu, masalah-masalah kecil sebegini saya tidak akan ambil peduli kerana banyak lagi perkara lain yang perlu diberi tumpuan. Lagipun mereka susah nak hubungi saya kerana saya tak pakai telefon bimbit,”katanya yang dipetik dari mStar Online.
Sebelum ini, Yusof tidak pernah menggunakan telefon bimbit selama 10 tahun.
Namun, atas dasar memudahkan dia menghubungi orang ramai, dia telah menerima nasihat dari isterinya untuk menggunakan kemudahan itu.
Pada mulanya, Yusof mengakui berasa kekok untuk menggunakan telefon bimbit.
Tetapi dia semakin terbiasa dengan kehadiran alat komunikasi itu di sisinya.
“Bagus juga apabila isteri saya (Datin Fatimah Ismail) memberikan cadangan supaya saya menggunakan telefon bimbit selepas 10 tahun tidak menggunakannya.
“Sekurang-kurangnya kami saling berhubung ketika saya berada di luar rumah. Bayangkan, daripada berasa kekok menggunakan telefon bimbit, sekarang saya mula selesa menggunakannya. Kalau tertinggal di rumah, saya sanggup patah balik untuk ambil,” katanya.
No comments:
Post a Comment