Pengikut Boyzzonne

Wednesday, September 19, 2012

Bantahan projek Rapid, lelaki bertopeng edar risalah

Lelaki bertopeng muka udang bertugas mengedarkan risalah kepada orang awam pada perhimpunan tersebut.
PENGERANG - Kehadiran seorang lelaki yang memakai topeng muka dengan gambar udang pada Perhimpunan Rakyat Pengerang, di Kampung Sungai Kapal dekat sini, menarik perhatian pengguna jalan raya yang melalui jalan tersebut.

Lelaki terbabit yang bertugas sebagai pengedar risalah pada perhimpunan yang mengumpulkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pengerang itu adalah antara penduduk yang tidak berpuas hati susulan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia, (Rapid) yang akan dibangunkan di situ.

Pengerusi Persatuan Anak Pengerang, Kasran Abdullah berkata
, perpindahan penduduk di kampung yang terlibat dengan projek tersebut akan menyebabkan nilai kemasyarakatan akan hilang.

“Kita tidak setuju apabila penduduk dikehendaki berpindah. Nilai yang ada di sini tidak sama dan tidak ada di perumahan yang baru nanti.

“Oleh itu kenapa harus dimusnahkan asal kehidupan penduduk yang sudah sedia ada di Pengerang ini?

“Kita amat kesal dengan perkara ini, namun kita sangat bersyukur kerana anak-anak muda di sini sudah mula sedar dan bangkit bersama-sama kita,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Sementara itu Pengerusi Gabungan NGO Pengerang, Anis Afida Mohd Azli berkata, perhimpunan tersebut bertujuan untuk mengumpulkan suara penduduk yang tidak berpuas hati dengan projek tersebut.

“Suara orang Pengerang pada hari ini (kelmarin) bukan disampaikan di sini sahaja, malah suara-suara ini akan dibawa dan dibentang ke Parlimen nanti,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 200 penduduk hadir pada perhimpunan tersebut bagi menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap pampasan tanah yang ditawarkan, selain mendesak kerajaan memberikan rumah percuma kepada penduduk yang terlibat dengan projek Rapid yang akan dibangunkan di situ.

Hadir sama, Ketua Cabang PKR Pengerang, Hasnol Ahmad dan Setiausaha Gabungan Tanah Perkuburan Cina Pengerang, Chong Chun Yet.

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive