Pengikut Boyzzonne

Saturday, September 22, 2012

Dr Norma Ahmad diarah Cari Datuk Paiman Shakimon


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi semalam mengarahkan penjamin kepada Datuk Paiman Shakimon yang dijatuhi hukuman penjara 26 tahun kerana menipu dan memalsukan dokumen membawa lelaki itu ke mahkamah pada 11 Oktober ini atau cagarannya bernilai RM700,000 dirampas.
Hakim Datuk Amelia Tee Hong Geok Abdullah membenarkan penjamin Dr Norma Ahmad dari Subang Jaya diberi tempoh tiga minggu untuk mengesan Paiman dan
memujuknya menyerah diri ke mahkamah.

Dr Norma, 55, berkata, Paiman adalah saudaranya sebab itu beliau bersetuju menjamin Paiman selepas dia merayu kepadanya sebaik Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman pada 19 April tahun lalu.
“Saya bergegas pulang pada hari itu dan kembali bersama geran rumah saya dan saya melakukannya dengan niat baik tanpa memahami terma dan syarat sebagai penjamin,” kata Dr Norma sambil menahan air matanya.

Beliau juga memberitahu, mahkamah sudah berusaha menghubungi Paiman beberapa kali dan sudah pergi ke rumahnya di Country Heights, Kajang tetapi gagal menemuinya. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Syed Faisal Syed Amir memberitahu mahkamah, polis gagal menyerahkan waran tangkap yang dikeluarkan mahkamah pada 20 Julai selepas Paiman gagal hadir ke mahkamah untuk perbicaraan rayuannya.

Beliau berkata, polis juga sudah pergi ke rumah Paiman dan anak lelakinya memaklumkan beliau tidak tahu di mana ayahnya.
Syed Faisal juga berkata, pasport Paiman ditahan Mahkamah Sesyen.

Tee berkata pihak pendakwaan harus lebih proaktif dengan mengarahkan berjaga-jaga di semua entri keluar dan memeriksa transaksi akaun Paiman.
“Saya pasti dia memerlukan duit,” katanya. Syed Faisal memohon mahkamah supaya menolak rayuan Paiman dan waran dikeluarkan agar dia dipenjara.

Sementara itu, peguam Gobind Singh Deo membuat permohonan kepada mahkamah untuk menarik diri daripada mewakili Paiman kerana beliau sendiri gagal menghubungi anak guamnya untuk mendapat arahan lanjut berhubung rayuannya. Tee membenarkan permohonan Gobind Singh dan menetapkan 11 Oktober bagi membolehkan Dr Norma membawa Paiman ke mahkamah.

Paiman, 53, dihukum penjara 26 tahun oleh Mahkamah Sesyen pada 19 April 2011 selepas didapati bersalah menipu dan memalsukan dokumen membabitkan RM12 juta milik dua ‘Datuk’ lain dalam satu kes penipuan pelaburan antara 2005 dan 2006.

Bagaimanapun, Paiman hanya perlu menjalani hukuman penjara 13 tahun selepas Hakim Datuk Jagjut Singh Bant Singh memerintahkan hukuman itu berjalan serentak. - Bernama

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive