SYARIFAH Noraida (empat dari kanan) menatap wajah Hui Yee bersama petugas-petugas IJN di Batu Pahat, semalam. |
BATU PAHAT - Koordinator Transplan Institut Jantung Negara (IJN), Syarifah Noraida Syed Dom melaksanakan tugas terakhirnya menjaga penerima organ jantung, Tee Hui Yee dengan melawat jenazah mendiang di Bangunan Persatuan Koon Yew di Jalan Fatimah di sini semalam.
Berita kematian Hui Yee, 19, meninggalkan kesan mendalam kepada Sharifah Noraida kerana beliau adalah antara staf terawal IJN yang diberi tanggungjawab menjaga mendiang sewaktu
dirawat di institut itu.
"Saya sudah menjaga mendiang Hui Yee sejak tahun 2006. Pemergiannya amat menyedihkan kami di IJN. Ini adalah tugas terakhir saya untuk dia," katanya ketika ditemui semalam.
Syarifah Noraida berkata, buat masa ini, terdapat kira-kira lapan pesakit yang masih menunggu untuk melakukan pemindahan jantung di IJN.
Hui Yee meninggal dunia secara mengejut di rumah keluarganya di Kampung Parit Besar di sini pukul 10.02 pagi kelmarin.
Kesengsaraan hidup mendiang yang sebelum ini menggunakan jantung mekanikal selama setahun disangka berakhir apabila Hui Yee berjaya menempuh pembedahan pemindahan organ jantung milik seorang penderma yang telah meninggal dunia, Chin Yoon Kiong pada tahun 2007.
Dalam pada itu, Mong Soon Peng yang juga ibu Yoon Kiong berkata, mereka sekeluarga bersedih sebab jantung anak mereka itu hanya dapat memberikan kehidupan normal selama lima tahun sahaja kepada Hui Yee.
"Memang saya sangat sedih sebab jantung itu anak saya punya, tak sangka dapat bertahan lima tahun sahaja," katanya ketika ditemui sewaktu menziarah mendiang Hui Yee bersama suaminya, Chin Pak Siong.
Pak Siong turut memohon agar pihak berkuasa dapat menerangkan dengan jelas punca kematian Hui Yee.
Mereka terkejut kerana gadis itu sebelum ini sihat, malah mendiang juga baru sahaja menjalani rawatan susulan rutin di IJN.
"Walaupun kami jarang bertemu, saya dan Hui Yee sering menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas) untuk bertanya khabar.
"Kali terakhir dia (Hui Yee) menghantar SMS ialah pada bulan lalu dengan memberitahu dia dalam keadaan sihat," katanya.
Jenazah mendiang akan dibakar di Pagoh hari ini.
No comments:
Post a Comment