Pengikut Boyzzonne

Thursday, September 20, 2012

USM lahir 5 sarjana nuklear

LIMA graduan sulung Sarjana Perubatan Nuklear pertama di Asia (dari kiri) Mohd. Wajdi; Mahayudin; Nor Salita; Yogendren dan Chiong Soon ceria selepas majlis Konvokesyen USM kali ke-46 di George Town, Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN – Universiti Sains Malaysia (USM) melakar sejarah sulung apabila berjaya melahirkan lima graduan pertama dalam Sarjana Perubatan Nuklear di Asia semalam.
Mereka ialah Dr. Nor Salita Ali, Dr. Mahayuddin Abdul Manap, Dr. Mohd. Wajdi Ghazali, Dr. L. Yogendren dan Dr. Law Chiong Soon yang masing-masing merupakan pegawai perubatan.
Program pengajian tersebut mendedahkan pelajar kepada penggunaan bahan radioaktif dan nuklear bagi merawat pesakit jantung, barah dan buah pinggang.
Naib Canselor USM, Profesor Datuk Omar Osman berkata, pusat pengajian yang baru diperkenalkan pada
tahun 2008 adalah di bawah seliaan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju di kampus baharu universiti itu di Bertam, Kepala Batas.
“Program itu telah dirangka sendiri oleh tenaga akademik USM dan berharap kejayaan pertama ini akan membawa manfaat kepada negara dan masyarakat,” katanya pada sidang akhbar selepas sidang pertama majlis Konvokesyen USM kali ke-46 semalam.
Majlis konvokesyen itu disempurnakan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang merupakan Canselor di universiti berkenaan.
Turut berangkat ialah Raja Perempuan Perlis, Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid dan Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Tan Sri Dr. Zulkefli A. Hassan.
Dalam pada itu, Omar memberitahu, seramai 4,753 siswazah akan menerima ijazah masing-masing sempena majlis konvokesyen yang bermula semalam hingga 23 September ini.
Daripada jumlah tersebut, seramai 1,158 penerima ijazah tinggi, 3,499 (ijazah sarjana muda) dan 96 (diploma).

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive