Pengikut Boyzzonne

Monday, September 17, 2012

Pengawal keselamatan maut kemalangan ngeri di Setiu

SETIU - Seorang pengawal keselamatan maut setelah digilis empat kereta dalam kemalangan ngeri di Kilometer 69 Kampung Raja-Kuala Terengganu berdekatan Kampung Saujana di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Setiu DSP Rohaizat Abd Ani, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan berkata hanya seorang pemandu kereta berusia 33 tahun dari Besut tampil membuat laporan.

Dalam kejadian kira-kira 9.46 malam itu, mangsa, Mohd Rafizuddin Razali, 21, cedera parah di bahagian kepala serta beberapa anggota badan lain dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal, dipercayai dalam perjalanan dari rumahnya, kira-50 meter dari tempat kejadian, menuju ke sebuah
kedai runcit di Kampung Beris Tok Ku.

Seorang saksi, Fathul Ammar Amsyar Hasbullah, 17, berkata ketika itu, beliau yang menaiki kereta bersama dua rakan berada di belakang motosikal Mohd Rafizuddin dan melihat mangsa melanggar sebuah motosikal yang diletak di tepi jalan.
   
"Saya nampak mangsa terjatuh ke atas jalan. Saya segera berhenti di tepi jalan untuk membantu sebab nampak mangsa mengerang kesakitan dan memegang kepalanya.

"Belum sempat berbuat demikian, tiba-tiba dua buah kereta dari arah Besut merempuh mangsa dan menyeretnya sejauh kira-kira 10 meter.

Kemudian datang dua buah kereta lagi dari arah depan yang turut melanggar mangsa," katanya.

Fathul Ammar Amsyar dan rakannya kemudian bergegas untuk membantu Mohd Rafizuddin namun ketika itu, mangsa dilihat sudah tidak bergerak dan keadaannya amat mengerikan.

Beliau turut melahirkan perasaan sedih kerana tidak dapat menyelamatkan mangsa.

Mayat Mohd Rafizuddin dihantar ke Hospital Setiu untuk bedah siasat.- Bernama

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive