Pengikut Boyzzonne

Tuesday, July 31, 2012

Rezeki si pencari kayu api berkereta lembu

MERLIMAU – Jika di bandar Melaka, kereta lembu menjadi salah satu tarikan pelancongan di negeri ini, namun sebaliknya pula di Kampung Tedung, di sini.

Ini kerana, kereta lembu benar-benar menjadi kenderaan utama si pencari kayu api, Mohamad Sulong, 55, yang tinggal di kampung berkenaan.

Berpengalaman lebih 20 tahun mengendalikan kereta menggunakan kudrat haiwan peliharaannya itu, dia lebih selesa menggunakannya untuk bergerak ke mana sahaja.

Mungkin untuk melihat kereta lembu di jalan raya ketika ini agak jarang-jarang ditemui, namun bagi Mohamad, dia tidak rasa malu bergerak ke sana-sini sehingga ke
pekan Merlimau untuk menyelesaikan tugasnya, biarpun ada kalanya menjadi perhatian orang ramai.

Jika ada tempahan, Mohamad akan meredah belukar seawal pagi bagi mencari kayu api hanya untuk meraih upah sebanyak RM40.

Sudah pastinya, dia yang mempunyai dua anak hasil perkongsian hidup dengan Salmah Kamal, 50, sukar untuk menampung hidup dengan pendapatan sebegitu.

Bagaimanapun, rezekinya pasti datang mencurah ketika musim cuti sekolah, ketika orang ramai sibuk mahu melangsungkan kenduri kahwin.

“Jika ada majlis kahwin, adalah rezeki saya. Memang sejak umur 12 tahun lagi, saya sudah biasa memelihara lembu. Saya ikut kedua arwah orang tua mencari rezeki,” katanya.

Bagaimanapun, ketika Sinar Harian berkunjung ke kediamannya, hati tersentuh apabila melihat rumah Mohamad begitu usang.

Dia sekeluarga terpaksa berteduh di bawah rumah pusaka berkenaan sekiranya hujan kerana bumbung rumah sebahagian besar sudah bocor, selain kayu rumah sudah reput dimakan anai-anai.

Bagaimanapun, ketabahan Mohamad meneruskan hidup dan sentiasa bersyukur atas rezeki yang diberikan ternyata dipandang mulia.

Pernah mohon bantuan rumah PPRT

Mohamad tidak putus-putus menyatakan syukur kerana keperitan hidup dihadapinya mendapat perhatian banyak pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menghulur bantuan RM300 sebulan kepada isterinya sebagai penerima.

Bagaimanapun, dia mengakui pernah idamkan memiliki rumah selesa dan pernah memohon rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), namun belum ada rezeki untuknya.

“Kalau dapat lagi bagus kerana saya memang tiada kerja lain. Kalau nak buat rumah sendiri memang tak dapatlah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tedung, Abd Mutalib Hussein berkata, pihaknya simpati dengan nasib Mohamad yang hanya menjadikan kayu api sebagai mata pencarian.

“Kami prihatin dengan keadaannya yang sekadar mencari kayu menggunakan kereta lembu dan tinggal di rumah peninggalan ibu bapanya.

“Memang kita ada usahakan untuk mendapat rumah PPRT tetapi masalahnya sekarang tanah rumahnya mempunyai banyak nama menyebabkan sedikit sukar. Jika dibina nanti akan timbul perbalahan keluarga pula. Namun, kita akan cuba membantu,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah ketika diminta mengulas mengenai nasib Mohamad itu berkata, siasatan akan dilakukan bagi memastikan kesempitan hidup Mohamad terbela.

“Saya akan buat siasatan lanjut. Kalau rumah dia perlukan pembaikan kecil, Parlimen boleh membiayai. Tetapi kalau terpaksa bina baru, saya akan panjangkan kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive