Pengikut Boyzzonne

Monday, July 30, 2012

Peniaga buah maut diseret Lori Tanah 12 meter

Buah-buahan dijual mangsa bertaburan di tempat kejadian.


RANTAU PANJANG - Seorang peniaga buah di sini maut selepas gerainya yang terletak di Kilometer 19 Rantau Panjang Pasir Mas di Kampung Gual Tinggi dirempuh sebuah lori petang kelmarin.

Rempuhan lori membawa muatan tanah bijih besi itu menyebabkan mangsa, Nik Mariam Nik Ya, 52, diseret kira-kira 12 meter dari gerainya.

Kejadian kira-kira 1 petang itu menyebabkan mangsa cedera parah pada
beberapa anggota badan, sementara pemandu lori lelaki berusia 30 tahun dan berasal dari Kampung Pulau Pak Amat, hanya cedera ringan serta mendapatkan rawatan di Hospital Daerah Pasir Mas.

Buah-buahan seperti nanas bertaburan di atas tanah sekitar tempat berniaga dan motosikal milik mangsa yang terletak di tempat kejadian turut rosak.

Mayat mangsa terperosok di bawah lori.


Anak kedua mangsa, Siti Mariam Daud, 31, berkata, ibunya seolah-olah tahu ajalnya sudah dekat apabila memaklumkan kepada rakannya sehari sebelum kejadian merupakan kali terakhir dia memesan buah untuk dijual.

Siti Mariam memberitahu ibunya tidak memaklumkan sebabnya dan rakannya pula tidak menyangka yang itu merupakan perubahan sikap yang ditunjukkan arwah sebelum kejadian.

“Disebabkan tinggal berasingan, saya tidak pasti masa emak keluar berniaga, kadangkala dia keluar menoreh terlebih dahulu sebelum berniaga buah,” katanya.

Siti Mariam juga berkata, ibunya turut menyuarakan hasrat membeli baju untuk dipakai pada hari raya nanti dan bercadang menjahit manik.

Menurutnya, sepupunya pula ada memberitahu pada malam kejadian ibunya merasa letih dan mengantuk daripada biasa.

“Selepas ibu beritahu keadaannya ketika itu, sepupu bertanya sama ada dia makan ubat atau sebaliknya.

“Ibu beritahu sepupu dia tidak makan ubat memandangkan dia tidak ada sebarang penyakit,” katanya.

Siti Mariam berkata, Selasa lalu merupakan hari terakhir dia berjumpa ibunya ketika berbuka puasa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati pemandu yang memandu sendirian itu dipercayai mengantuk.

Menurutnya, mayat peniaga buah yang berniaga di jalan Rantau Panjang ke Pasir Mas di Kampung Gual Tinggi itu terseret kira-kira 12 meter ke dalam parit.

“Pemandu cedera ringan sementara mangsa meninggal di tempat kejadian,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mayat mangsa dikeluarkan dengan kerjasama penduduk dan Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang.

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive