Pengikut Boyzzonne

Tuesday, September 25, 2012

Tokey sparepart Mati ditetak selepas kahwin

KESAN darah masih jelas kelihatan di kaki lima tempat Kok Weng mati ditetak oleh
sekumpulan lapan lelaki selepas beberapa jam mangsa berkahwin di Johor Bahru

JOHOR BAHRU - Seorang peniaga barangan alat ganti yang baru beberapa jam berkahwin tidak sempat menikmati malam pertama apabila dia mati ditetak oleh sekumpulan lapan lelaki bersenjatakan parang dan bertopeng di Taman Mount
Austin di sini kelmarin.
Kejadian pukul 2 petang itu mengakibatkan Allan Tee Kok Weng, (gambar kecil) 36, maut selepas ditetak di kepala, leher serta badan di hadapan isterinya, Shiau Ting, 30-an. Sebelum kejadian, pasangan itu baru selesai minum bersama rakan-rakan di sebuah bistro di taman tersebut.
Difahamkan, pasangan itu melangsungkan upacara perkahwinan di Taman Daya dan sempat pulang ke rumah untuk menukarkan pakaian. Jarak antara dua tempat itu kira-kira tiga kilometer.
Seorang pekerja bistro yang enggan dikenali memberitahu, serangan itu berlaku terlalu pantas.
"Sebaik melangkah keluar, lelaki itu terus ditarik oleh lapan penjenayah yang memakai topeng ski sebelum dia ditetak berkali-kali.
"Selepas memastikan mangsa tidak bergerak, penjenayah itu kemudian melarikan diri. Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital," ceritanya.
Dalam pada itu, satu sumber memberitahu, kejadian itu disyaki bermotifkan dendam berikutan semakan mendapati mangsa mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan gaduh, dadah dan curi.
Tinjauan Kosmo! di bilik mayat Hospital Sultan Ismail pula mendapati ahli keluarga dan kenalan rapat mangsa masih bersedih dengan kejadian itu dan enggan ditemu bual.
Di situ juga kelihatan sebuah kereta diikat dengan reben merah jambu yang lazimnya menjadi hiasan untuk membawa pengantin baru.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu namun enggan mengulas lanjut.

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive