Bapa mendiang Amy Winehouse menyatakan, dia tidak gembira mendengar lagu dalam album Back to Black walaupun album berkenaan telah melonjakkan nama penyanyi Britain berkenaan.
Mitch Winehouse memberitahu, kebanyakan lagu dalam album tersebut menceritakan kehidupan Winehouse bersama bekas suaminya.
Dalam memoir yang ditulis oleh Mitch berjudul Amy My Daughter, dia menyalahkan bekas menantunya, Blake Fielder-Civil kerana menjerumuskan anak perempuannya ke dalam kancah penagihan alkohol dan dadah.
Pandangan negatif Mitch terhadap bekas suami anaknya yang merupakan penyanyi popular Britain itu tidak pernah berubah.
Sebelum ini, dia pernah menuduh Fielder-Civil bertanggungjawab memperkenalkan dadah kepada Amy sehingga merosakkan kehidupannya.
Kata Mitch, dia lebih menyukai album jazz pertama Amy, Frank walaupun album berkenaan kurang popular.
Album Back to Black dijual lebih 20 juta unit di seluruh dunia dan memenangi anugerah Grammy bagi kategori album terbaik pada 2008.
Winehouse mati akibat masalah ketagihan alkohol dan dadah yang teruk di London pada Julai tahun lalu ketika berusia 27 tahun.
Fielder-Civil dan Winehouse berkahwin pada bulan Mei 2007, tetapi mereka bercerai dua tahun kemudian.
Buku memoir tersebut dijadual berada di pasaran pada 26 Jun ini. - Agensi
No comments:
Post a Comment